Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini berusia lebih tujuh dekad mencipta tonggak pencapaian dalam industri penyiaran serta penerbitan negara selain berani membawa perubahan agar perkhidmatannya sentiasa segar dan relevan.

Perdana Menteri berkata RTM yang telah sekian lama berkhidmat kepada rakyat, perlu bersedia berubah dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa serta mencipta lebih banyak kejayaan baharu untuk membawa jabatan penyiaran negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Slogan RTM - Teman Setia Anda memang sinonim dan mencerminkan perkhidmatannya kepada rakyat. Namun, RTM juga perlu berani membawa perubahan agar perkhidmatannya akan sentiasa segar dan relevan,” katanya dalam ucapan secara maya bersempena sambutan ulang tahun RTM ke-75 dan Orkestra RTM ke-60, hari ini.

Sambutan itu yang diadakan di Angkasapuri di sini, dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Ruzain Idris.

Muhyiddin juga berharap supaya RTM tidak gentar membawa perubahan dalam era Revolusi Industri 4.0 di samping menggunakan kepakaran yang ditimba daripada pengalaman lalu untuk sentiasa menambah baik, melestarikan dan membangunkan perkhidmatannya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata projek menaik taraf Kompleks Penyiaran Angkasapuri kepada Bandar Media adalah sejajar dengan kemajuan pesat dalam bidang teknologi penyiaran dan piawaian penyiaran digital antarabangsa.

Muhyiddin berkata apabila siap sepenuhnya, projek yang dilaksanakan secara kerjasama di antara kerajaan dan pihak swasta itu akan menyediakan infrastruktur penyiaran berteknologi tinggi selaras dengan perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

Beliau berkata pembangunan Bandar Media itu juga selari dengan Pelan Transformasi RTM yang memfokuskan kepada pembangunan dan penggunaan platform media RTM secara lebih optimum dan mencapai visi jabatan dengan lebih efektif.

“Saya percaya pelan ini akan memberikan manfaat yang besar bukan sahaja kepada organisasi malahan kepada industri kreatif tempatan.

“Antara lainnya ia akan menawarkan pemantapan kandungan di saluran-saluran televisyen, penyegaran penyampaian di medium radio dan pemerkasaan media baharu untuk memupuk dan menambah kesetiaan dalam kalangan audiens,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata dalam tempoh 75 tahun perkhidmatannya, RTM telah berperanan sebagai pemangkin industri kreatif negara khususnya dalam pembangunan media serta bidang penerbitan, muzik dan teknologi komunikasi.

“Pelbagai sumbangan secara langsung dan tidak langsung dalam penghasilan dan pembangunan industri tempatan telah dilaksanakan RTM. Ini termasuk peluang pekerjaan, peluang berkarya, pembangunan bakat dan modal insan serta pelbagai perkhidmatan sokongan kesenian dan artistik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata RTM turut berperanan membantu pihak berkuasa memerangi pandemik COVID-19 sebagai satu daripada saluran penyebaran maklumat sahih kerajaan dalam usaha membetulkan fakta yang diselewengkan menerusi khabar angin, berita palsu dan tohmahan yang disebarkan melalui media sosial.

Katanya penyiaran penafian berita palsu melalui program radio dan televisyen yang disampaikan dalam 24 bahasa dan dialek banyak membantu memberi pemahaman kepada semua pihak di negara ini, sekali gus mengelakkan orang ramai daripada mudah menjadi panik dengan maklumat tidak tepat.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengucapkan syabas kepada RTM atas pelancaran Saluran Sukan RTM hari ini yang merupakan satu lagi pembaharuan dalam memenuhi selera masyarakat khususnya peminat sukan.

Beliau berkata saluran itu juga dapat memainkan peranan sebagai ejen perpaduan nasional menerusi semangat kesukanan selain membuka peluang kepada syarikat penerbitan tempatan menghasilkan kandungan program sukan untuk RTM.

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah atas ulang tahun ke-60 Orkestra RTM kerana berjaya menghiburkan warga Malaysia selama 60 tahun dan mendoakan perkhidmatan orkestra itu diteruskan dengan lebih produktif dan dinamik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS