mk-logo
Berita
Wan Saiful minta 'rakan-rakan Umno' selesaikan isu Zahid
Diterbitkan:  Apr 1, 2021 6:10 AM
Dikemaskini: 6:48 AM

Umno harus menyelesaikan krisis dalaman parti itu sebelum menjejaskan kerajaan Perikatan Nasional, kata Wan Saiful Wan Jan.

Bercakap pada sesi wawancara yang disiarkan secara langsung di Facebook semalam, ketua penerangan Bersatu itu memberi bayangan bahawa masalah itu ditimbulkan presiden Umno sendiri - Ahmad Zahid Hamidi.

Wan Saiful berkata Zahid menerusi sepucuk surat memberikan sokongan kepada ketua pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri ketika Umno masih merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Betapa surat ni dihantar 11 Oktober 2020 oleh Presiden Umno kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

"Tajuk dia pun kita dah saspen, ni nak sama-sama dalam kerajaan.

"Keputusan presiden bahawa ahli-ahli Dewan Rakyat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) memberi sokongan dan kepercayaan tak berbelah bahagi dan setia kepada Yang Berhormat Anwar ibrahim, Ahli parlimen Port Dickson untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan," katanya membaca tajuk surat berkenaan. 

"Setia kepada ketua pembangkang, sebagai presiden parti yang duduk dalam kerajaan dan mewakili semua ahli parlimen.

"Saya rasa tak ada laporan polis difailkan mengenai surat ini. Tak ada penarikan rasmi daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

"Dan kalau tak diselesaikan isu dalaman Umno, simptomnya yang keluar macam inilah, tiba-tiba sokong pembangkang.

"Macam mana kita nak buat kalau macam ni? 

"Saya tak nak campur urusan dalaman Umno, tapi saya mohon sangat rakan-rakan dalam Umno selesaikanlah isu ini supaya kita tak perlu menghadapi cabaran sebegini dan boleh terus fokus berkhidmat pada rakyat, bagi memastikan kebajikan rakyat dijaga, dan memastikan keadaan ekonomi akhirnya beri manfaat kepada rakyat," katanya.

Wan Saiful berkata demikian ketika ditanya oleh moderator Zaharin Mohd Yasin yang juga merupakan aktivis veteran Umno mengenai pertembungan antara Umno dan Bersatu.

Jurucakap pejabat Zahid sebelum ini menafikan kewujudan surat berkenaan dan mengatakannya sebagai palsu. 

Namun, bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa mengesahkan Zahid memberi sokongan bertulis kepada Anwar.

Annuar juga mendakwa Zahid menulis surat itu tanpa pengetahuan Ahli Parlimen Umno yang lain.

Presiden Umno Zahid Hamidi.

Perselisihan antara Umno dan Bersatu mencapai kemuncak pada hujung minggu lalu ketika Perhimpunan Agung Umno memutuskan untuk menamatkan hubungan dengan parti yang diterajui Muhyiddin Yassin itu.

Zahid mengatakan bahawa gabungan BN yang dipimpin Umno akan bergerak secara solo pada PRU akan datang.

Mengulas hal ini, Wan Saiful berkata Umno harus mengumumkan calon perdana menteri mereka.

"Persoalan paling besar ialah siapa calon perdana menteri? Kita PN jelas Muhyiddin. PH jelas Awnar Ibrahim. Kalau duduk tengah-tengah, tak duduk sebelah Muhyiddin, tidak duduk sebelah Anwar, nak calonkan siapa sebenarnya?

"Nak calon daripada parti sendiri atau menolak Muhyiddin dan naikkan Anwar dan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng? Ini persoalan besar yang rakyat nak tahu. Bagi saya kena putuskan sekarang. Kalau nak duduk dalam PN marilah duduk sama-sama adik beradik, tadbir negara untuk kebaikan rakyat. Kalau tak nak, bagitahu siapa nak jadi perdana menteri," katanya.

Semasa wawancara itu, Wan Saiful juga ditanya oleh moderator adakah Bersatu akan bekerjasama dengan Umno lagi selepas pilihan raya untuk membentuk kerajaan, sekiranya tidak ada satu pun dari mereka yang mempunyai bilangan yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.

Wan Saiful tidak memberikan jawapan langsung, tetapi mengatakan dia secara peribadi tidak menghadapi masalah dengan strategi seperti yang dibenarkan dalam demokrasi.

Namun, dia menekankan bahawa rancangan seperti itu akan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat dan menimbulkan persoalan mengenai kepercayaan terhadap janji pilihan raya.

"Saya secara peribadi rasa tak ada masalah kalau itu strategi nak diambil. Dari segi rakyat, saya rasa banyak persoalan ditimbulkan

kalau dibentuk lepas PRU, sejauh mana boleh percaya janji-janji ditabur sebelum PRU.

"Janji A, tapi lepas PRU, bincang dengan parti lain pula. Baik tak payah janji dari awal," katanya.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini