Isu saudara baru: PAS Johor salahkan JAIJ
PAS Johor mendakwa pihak berkuasa agama negeri Johor sebagai lembab dan cuai hingga menyebabkan mayat saudara baru, allahyarham Rafie Syzwan Abdullah diambilalih dan diuruskan oleh keluarga asalnya mengikut upacara agama Hindu di Kota Tinggi Johor pada 6 September lalu.
PAS Johor mendakwa pihak berkuasa agama negeri Johor sebagai lembab dan cuai hingga menyebabkan mayat saudara baru, allahyarham Rafie Syzwan Abdullah diambilalih dan diuruskan oleh keluarga asalnya mengikut upacara agama Hindu di Kota Tinggi Johor pada 6 September lalu.
Ketua Pemuda PAS Johor, Mazlan Aliman berkata, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) bertanggungjawab ke atas "kesilapan dan kecuaian" tersebut kerana lambat bertindak mengambilalih dan menguruskan mayat allahyarham setelah diberitahu tentang kematiannya.
Katanya, walaupun akhirnya abu mayat allahyarham telah diambil oleh JAIJ dan dikebumikan secara Islam, namun PAS tidak menganggp isu itu telah selesai.
Allahyarham Rafie atau nama asalnya RR Mahendran, 40, seorang peguam Abdullah meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 5 September lalu. Bagaimanapun mayatnya telah diambilaih oleh keluarga asalnya yang beragama Hindu dan dibakar di pusat pembakaran myat Kota Tinggi pada keesokan harinya.
" Bagi kami siasatan perlu dijalankan kerana masih banyak tandatanya yang perlu dijawab. Kes allahyarham Rafie ini telah ditangani dengan cara yang sangat tidak cekap oleh JAIJ," ujarnya.
Mazlan berkata, sepatutnya para pegawai JAIJ segera menuntut mayat Rafie apabila ia tiba di rumahnya di Taman Long Chik, Kulai pada 6 September lalu.
" Bagaimanapun mungkin kerana karenah birokrasi, para pegawai JAIJ lambat bertindak hingga menyebabkan keluaraga allahyarham yang beragama Hindu membawa mayat itu ke pusat pembakaran mayat di Kota Tinggi untuk dibakar pada hari yang sama.
Tindakan JAIJ
" Seorang kenalan allahyarham memaklumkan kepada JAIJ bahawa beliau beragama Islam dan mayatnya telah diambil dari pihak hospital di Kuala Lumpur oleh keluarganya dan dibawa balik ke rumahnya di Kulai. Sepatutnya para pegawai JAIJ segera bertindak selepas mendapat maklumat tersebut. Jika mereka bertindak segera, mungkin perkara ini tidak akan berlaku," tegasnya.
Mazlan berkata, walaupun pihak JAIJ telah berjaya mendapatkan perintah mahkamah pada 7 September dan telah mengambil abu mayat allahyarham (foto kanan) dari kaum keluarganya serta mengebumikannya mengikut cara Islam pada sebelah malamnya, kesilapan dan kecuaian itu amat dikesali.
" Bagi PAS perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Ia merupakan satu isu yang amat sensitif, jika dibiarkan terus berulang, boleh menimbulkan prejudis dan ketegangan agama di negara ini,"ujarnya.
Menurutnya, PAS bukan sengaja mahu membesar-besarkan perkara ini atau mahu mencari kelemahan serta kesilapan pihak berkuasa agama Islam tetapi mahu memastikan semua pihak terbabit memberi perhatian serius kepada perkara seperti ini bagi mengelakkan timbulnya perkara yang tidak diingin nanti.
" Kerana itulah kami menghantar memorandam kepada JAIJ menuntut penjelasan dari mereka dan jaminan perkara seperti ini tidak akan berulang,"tambahnya.
Selain itu katanya tindakan PAS membuat laporan polis kerana mahu tahu samaada tindakan keluarga allahyarham untuk mensemadikannya mengikut agama Hindu melanggar perlembagaan negara atau tidak kerana mereka sedia maklum allahyarham beragama Islam.
" Si mati tidak menyembunyikan keislamannnya kerana beliau berkahwin dengan wanita Islam. Satiap hari raya beliau mengadakan rumah terbuka dengan menjemput keluarganya yang beragama Hindu.
Oleh itu kita mahu pastikan apa yang sebenarnya berlaku hingga menyebabkan mereka membakar mayat si mati,"jelas Mazlan lagi.
Menurutnya lagi, PAS juga telah mengarahkan peguamnya mengkaji dari aspek undang-undang tindakan keluarga allahyarham itu.
Sementara itu seorang pegawai JAIJ yang dihubungi berkata, kes "kesilapan" pengurusan mayat Rafie itu telah diselesiakan dengan baik.
" Kami telah mendapatkan perintah mahkamah dan telah mengebumikan abu mayat itu mengikut cara Islam. Semuanya telah selesai. Tiada apa-apa lagi yang perlu diulas," ujarnya.
Pengarah JAIJ, Datuk Mohd Zaini Osman tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasannya kerana sedang menghadiri satu mesyuarat di Kuala Lumpur.

