Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Status tanah kuil: Ramasamy kecam kenyataan presiden MIC
Diterbitkan:  Apr 4, 2021 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy mengecam peringatan yang dikeluarkan Presiden MIC SA Vigneswaran berhubung pembinaan kuil Hindu.

Dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-74 semalam, Vigneswaran antara lain berkata kuil-kuil baru perlu dibina di tapak yang telah diluluskan bagi mengelakkan risiko perobohon akibat pertikaian status tanah.

Vigneswaran juga berkata isu seputar tapak kuil Hindu tidak boleh terus menjadi faktor pemisah antara masyarakat India dan kaum lain di Malaysia.

Dia kemudian berkata jika penganut Hindu tidak mengikut prosedur yang akhirnya membawa kepada perobohan kuil, maka mereka menghina Dewa mereka sendiri.

Kenyataan tersebut tidak disambut baik Ramasamy.

"Kenyataan bahawa penganut Hindu yang patut dipersalahkan kerana kuil dirobohkan dan membawa kepada penghinaan terhadap dewa-dewa mereka sendiri adalah paling tidak bertanggungjawab dan tidak wajar.

"Kenyataan seperti itu tidak mencerminkan hakikat dan persoalan berhubung perobohan kuil Hindu di negara ini sejak beberapa dekad lalu.

"Pendek kata, kenyataan itu menuding jari kepada mangsa dan bukannya pelaku yang telah merobohkan kuil dengan alasan kesahan dari sudut perundangan,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.

Dia berkata Vigneswaran seperti keliru bahawa tanah memang disediakan untuk masyarakat India membina kuil, tetapi mereka yang tidak mematuhi prosedur pembinaannya sehingga dirobohkan pihak berkuasa.

SA Vigneswaran

"Ini merupakan gambaran yang salah mengenai hakikat sebenar dan mengabaikan realiti di negara ini, di mana pembinaan rumah ibadat bukan Islam telah dihadkan selama ini."

Katanya lagi, jika pembangunan kuil mendapat akses tanah yang saksama, maka persoalan tentang tanah haram tidak akan timbul.

Justeru, Ramasamy berkata Vigneswaran perlu menarik balik kenyataan yang dibuatnya.

Dalam pada itu, Ramasamy mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang memuji MIC semalam kerana menyokong Perikatan Nasional (PN) dan menzahirkan harapannya supaya parti itu akan terus memberikan sokongan tersebut pada masa akan datang.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, diundang untuk berucap di perhimpunan agung tahunan MIC di saat Umno memuktamadkan keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu dan PN pada pilihan raya akan datang, meskipun parti gabungannya BN MIC, MCA dan PBRS masih belum menyatakan persetujuan.

Ramasamy berkata jaminan Muhyiddin kepada masyarakat India bahawa dia akan menjaga mereka adalah satu kenyataan yang tidak bermakna.

Tambahnya, kenyataan itu bagi Muhyiddin itu hanyalah bermaksud memberi "dedak" kepada masyarakat India.

"Boleh saja bercakap tentang kemakmuran bersama, tetapi jelas masyarakat India telah ketinggalan dalam apa saja kemakmuran yang diraih sejak beberapa dekad ini.

“Kaum India di bawah pentadbiran PN telah kehilangan martabat dan harga diri dan MIC adalah warisan masa lalu, dan pemimpinnya hanyalah 'bahan pameran' untuk mengingatkan orang India yang mereka diwakili (dalam pentadbiran)," katanya lagi.

ADS