Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Dalam reaksi kepada soalan pemberita tentang kerjasama Umno-DAP, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan telah menjawab seperti berikut: "Saya telah bekerjasama dengan DAP dan parti itu ada kala ekstrem tapi kita boleh bersama-sama dengan mereka. DAP juga perlu sedar bahawa (Malaysia) negara berbilang kaum. Anda tak boleh kerja untuk kaum sendiri sahaja.

Rakaman jawapan Mahathir dalam bahasa Inggeris kepada wartawan tersebut telah saya ulang dengar beberapa kali.

Meski berusaha menahan diri, "la budda," kata orang Arab - tidak boleh tidak - saya harus menyatakan rasa tidak setuju dengan jawapan Mahathir di atas.

Sejak duduk bersama Lim Kit Siang menandatangani Deklarasi Rakyat, Mahathir pernah hadir ke beberapa acara DAP dan melihat sendiri bagaimana parti itu jauh bersalahan daripada andaiannya selama ini.

Apa yang ekstrem - barangkali Mahathir boleh perjelaskan lain kali.

Namun, tidak seperti parti Cina MCA, DAP adalah sebuah parti berbilang bangsa yang tidak memperjuangkan kepentingan kaum tertentu. Kalau tidak, saya tidaklah masuk DAP.

Mahathir juga mendengar sendiri lagu parti DAP dan hampir sahaja ikut menyanyi bersama kerana - tidak seperti MCA - lagu parti kami dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan.

Ya, memang dalam DAP ramai orang Cina. Ia tidak perlu kita nafikan. Puncanya ialah kerana DAP lahir daripada keperluan rakyat terpinggir yang tidak diwakili tauke-tauke yang menyertai MCA, atau anak-anak raja dan orang berada yang menjadi ahli Umno.

Tak digunakan sebaik mungkin

Namun tentu sekali itu tidak bermakna DAP secara automatik menjadi parti yang mengutamakan kepentingan kaum Cina semata-mata.

Mungkinlah dari sudut pandang Mahathir ketika dalam kerajaan dulu, pimpinan DAP banyak bekerja dalam kerangka menjaga kepentingan minoriti bukan Melayu.

Nak salahkan mereka semata-mata pun tidak boleh juga kerana sebagai sebuah negara kita masih lagi mengekalkan amalan pecah perintah politik teritorial yang memaksakan pemimpin Melayu menjaga kepentingan Melayu, pemimpin yang Cina menjaga kepentingan orang Cina, dan seterusnya.

Demikian itu adalah amalan BN yang menyusup ke dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketika ia sepatutnya tidak boleh dibenarkan berlaku.

Hari ini malah ada pemimpin PAS yang secara terang-terangan menyatakan keinginan mereka mahu mengubah sempadan kawasan pilihan raya atas alasan mahu menguntungkan masyarakat Melayu dan Islam.

Poses rundingan kerusi untuk menghadapi pilihan raya umum pun masih lagi bertitik tolak daripada memikirkan komposisi kaum. Kalau lebih separuhnya Melayu, maka parti Melayulah yang bertanding di situ. Kalau campuran, bagi ke PKR atau Amanah. Kalau majoriti Cina, nah - ambil ke DAP.

Penyudahnya Mahathir sendiri melihat DAP sebagai parti gantian MCA dalam kerajaan pimpinannya semasa PH. Bukankah itu satu kerugian? 

Pada saat DAP - sebuah parti berbilang kaum hadir sebagai manifestasi 'Bangsa Malaysia' yang menjadi azam Mahathir melalui gagasan Wawasan 2020 - peluang itu tidak digunakan dengan sebaik mungkin.

Selagi mana politik negara ini berpegang kepada sistem teritorial yang meletakkan kaum sebagai indikator sempadan bidang kuasa, selagi itulah negara ini akan terus menjadi mangsa para penunggang politik etnosentrik yang mempergunakan kaum sebagai tabir bagi menyembunyikan pergelutan antara kelas yang terus menjadi barah dalam masyarakat.

Bergerak ke depan, legasi yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang adalah sebuah negara yang mengutamakan keperluan warganya; tidak kiralah apa pun latar keturunan, pendidikan, budaya dan kepercayaannya.

Bak kata Mahathir juga: "(Malaysia) negara berbilang kaum. Anda tak boleh kerja untuk kaum sendiri sahaja."

Biar berbeza latar budaya, Malaysia adalah negara kita bersama. Bukankah cantik kalau sedemikian sudut pandang kita semua sebagai sebuah bangsa berdaulat?


IZMIL AMRI ialah penulis dan pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS