Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gesaan Mustapa agar graduan bersyukur tak wajar, kata Kula
Diterbitkan:  Apr 5, 2021 12:31 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Tidak wajar menggalakkan graduan melakukan pekerjaan separa mahir dan tidak mahir dengan bergaji rendah kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang kata bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran.

Katanya jika keadaan itu dibiarkan negara bakal menyaksikan kesan pada kadar pengangguran dan kehilangan produktiviti.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata walaupun jika tahap gaji kemudian meningkat secara berperingkat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi pascapandemik Covid-19, tahap kebergantungan Malaysia kepada tenaga buruh murah tidak akan memberi jaminan ia bertambah dengan sepatutnya.

"Dengan membayar dengan gaji rendah yang sama dengan gaji minimum kepada golongan muda, kita tidak menggunakan sebaiknya potensi mereka, itu satu dasar harus digubal untuk mengatasi masalah ini.

"Pengangguran boleh menjadi ancaman sebenar ekonomi dalam jangka masa panjang," katanya.

Kulasegaran berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed yang berpendapat graduan harus bersyukur jika mereka mendapat pekerjaan walaupun dengan gaji rendah ketika negara sedang berdepan ekonomi yang mencabar. 

Mustapa berkata ia disebabkan pasaran dan permintaan tenaga buruh lemah kerana ekonomi menguncup sebanyak 5.6 peratus.

Kata Kulasegaran sebagai bekas menteri, dia berpendapat kenyataan Mustapa itu sangat tidak bertanggungjawab.

"Menjadi tugas dia untuk memastikan yang graduan tidak mendapat gaji rendah," kata naib pengerusi DAP kebangsaan itu.

Menurutnya lagi, terdapat keperluan untuk mengubah struktur dalam ekonomi bagi memberi insentif yang mendorong mereka beralih ke konsep nilai gaji yang lebih tinggi, dengan lebih banyak peluang tersedia untuk belia.

Di peringkat dasar pula, Kulasegaran mendesak kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa dwipartisan terdiri daripada ahli parlimen serta NGO, majikan, kesatuan dan pihak berkepentingan lain untuk menangani masalah pengangguran dalam kalangan belia.

Dia juga berkata bahawa sidang parlimen harus diadakan semula segera supaya ruang perbahasan untuk dasar-dasar berkaitan dapat dibahaskan.

Mustapa sebelum ini berkata bahawa gaji graduan pada tahun lalu lebih rendah daripada biasa disebabkan Covid-19, tetapi menjangkakan ia akan bertambah baik dalam tiga hingga empat bulan akan datang. 

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah menetapkan gaji bulanan minimum dinaikkan kepada RM1,200 di bandar-bandar utama yang berada di bawah 57 majlis bandar raya dan perbandaran, sementara gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan untuk lokaliti lain di seluruh negara.

Lihat Komen
ADS