Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi gesaan akar umbi Umno agar Zahid berundur
Diterbitkan:  Apr 6, 2021 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Seorang lagi pemimpin akar umbi Umno menuntut presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan demi memastikan kelangsungan parti itu.

Ketua Umno bahagian Simpang Renggam, Zakaria Dullah berkata, kepimpinan sedia ada dilihat memiliki liabiliti dan imej negatif kepada kelangsungan Umno bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Sebagai pemimpin parti termasuk Presiden, sepatutnya mereka (pucuk kepimpinan parti) tahu ketika mana pengorbanan perlu dilakukan, lebih-lebih lagi dalam menentukan masa depan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

"Berundur setapak bukan bermakna kita akan hilang segalanya. Berundur setapak sebenarnya bagi mendapat nikmat yang jauh lebih baik di depan sana," katanya dipetik Sinar Harian.

Minggu lalu, Ketua Pemuda Umno bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang menggesa Zahid mengundurkan diri sekiranya mahu menteri-menteri Umno melepaskan jawatan dari kabinet.

Gesaan itu turut disokong penasihat Umno Selangor, Muhammad Muhd ​​Taib yang mengatakan pemimpin yang didakwa di mahkamah perlu melepaskan jawatan.

Beberapa pimpinan Umno termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini menggesa Umno mengadakan pemilihan sebelum pilihan raya umum akan datang untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.

Pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun sekali.

Kali terakhir parti itu mengadakan pemilihan adalah pada 30 Jun 2018,apabila Zahid mendapat kemenangan selesa menewaskan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden Umno.

Sebelum ini pengerusi jawatankuasa pemilihan Umno, Mohamad Hasan berkata pemilihan parti itu hanya akan diadakan sekiranya tidak ada pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.

Lihat Komen
ADS