Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perbualan bocor didakwa antara Zahid, Anwar konspirasi tahap tertinggi?'
Diterbitkan:  Apr 7, 2021 11:54 AM
Dikemaskini: 4:39 AM

  • Dikemas kini dengan penafian Zahid.

Pemimpin Umno Puad Zarkashi mempersoalkan jika penyebaran rakaman video yang didakwa antara Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim baru-baru ini, sebagai "konspirasi di peringkat tertinggi".

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, ini kerana butiran rakaman itu cukup jelas dan berkualiti tinggi.

"Tulen atau tidak sudah tentu rakaman itu bermotif politik apabila ia ditularkan. Darurat sepatutnya untuk kurangkan politiking tetapi rupanya semakin bermaharajalela.

"Apakah ini konspirasi at the highest level? Ini bukan kerja calang-calang," katanya di Facebook hari ini.

Rakaman itu didakwa perbualan antara presiden Umno dan PKR untuk menjejaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN). dan telah beredar dalam lingkaran Umno.

Bagaimanapun Malaysiakini belum dapat memastikan ketulenannya dan sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak Anwar dan Zahid.

Dalam perbualan kira-kira empat minit itu, suara yang didakwa sebagai Zahid dan Anwar kedengaran berpuas hati dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung bulan lalu.

PAU antara lain memuktamadkan keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu serta memberi mandat kepada presiden dan Majlis Tertinggi untuk menentukan masa menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, suara yang didakwa Zahid berkata apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal. Ia dipercayai merujuk kepada kenyataan tiadanya kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Suara didakwa Anwar pula berkata lebih baik jika menteri daripada Umno, walaupun seorang, yang menggunakan PAU sebagai sebab untuk meletakkan jawatan, untuk membina momentum.

Bagaimanapun dia berkata tiada yang berani berbuat demikian.

Dalam kenyataan hari ini, Zahid menafikan rakaman perbualan tersebut dan telah mengarahkan agar laporan polis dibuat.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini," katanya.

'Tidakkah kita belajar dari kesilapan?'

Dalam pada itu, Puad membangkitkan pendedahan perbualan antara bekas perdana menteri Najib Razak dengan putera mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohammed Zayed Al Nahyan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika pentadbiran PH.

"Kalau ia (perbualan Anwar dan Zahid) tulen, apakah Malaysia negara selamat apabila perbualan peribadi dirakam dan ditular?...Tidakkah kita mahu belajar daripada kesilapan?" soalnya.

Katanya, pendedahan rakaman Najib dengan putera mahkota UAE itu telah mencetuskan kemarahan negara tersebut sehingga tidak lagi membuat pelaburan di Malaysia.

Dalam rakaman itu, Najib didengar agar anak tirinya, Riza Aziz, terlepas daripada siasatan terhadap skandal 1MDB di Amerika Syarikat.

Dia juga menggesa ahli Parlimen agar mendesak suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan, selain siasatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu.

"Ternyata skandal merakam perbualan peribadi teutama yang libatkan lawan politik adalah hari hitam untuk demokrasi di Malaysia.

"Politiking keji tidak akan berakhir. Wujudnya kluster lompat dan merakam perbualan telefon adalah natijah kerajaan hari ini yang tiada majoriti jelas," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS