Buruh didakwa cabul 3 kanak-kanak di pusat jagaan JKM
Seorang buruh berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini, atas dakwaan melakukan kesalahan seksual dan penderaan terhadap kanak-kanak yang juga penghuni sebuah pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Bagaimanapun tertuduh Mohd Hamdan Yasin, 38, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan dengan maksud seksual menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dalam kejadian sekitar September 2020, kira-kira jam dua pagi di ruang tamu sebuah rumah di pusat jagaan yang terletak di Kota Bharu itu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga dia didakwa dengan maksud seksual menyentuh bahagian sulit seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada sekitar Julai 2019 dan September 2020 di lokasi sama.
Pertuduhan keempat pula tertuduh didakwa dengan maksud seksual menyentuh bahagian sulit seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun pada kejadian sekitar April 2019, kira-kira jam 3 petang di lokasi sama.
Keempat-empat pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar, manakala tertuduh diwaliki peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri.
Sementara itu bagi pertuduhan kelima, Mohd Hamdan dan isterinya yang merupakan penjaga pusat jagaan itu, Nor Adila Zakaria, 35, mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dalam kejadian 17 Mac lalu.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada Nor Adila, manakala tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada suaminnya.
Bagaimanapun Zuhaidie Akmal membuat permohonan untuk membuat rayuan secara bertulis kepada mahkamah, dan sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 10 Mei depan.

