Kelulusan tubuh 25 IPTS ditarik balik
Empat Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tidak dibenarkan lagi mengambil pelajar asing setelah didapati menyalahgunakan kelulusan yang diberikan kepada mereka, dengan membawa masuk pekerja asing.
Empat Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tidak dibenarkan lagi mengambil pelajar asing setelah didapati menyalahgunakan kelulusan yang diberikan kepada mereka, dengan membawa masuk pekerja asing.
Di samping itu, Kementerian Pengajian Tinggi juga telah menarik balik kelulusan penubuhan bagi 25 IPTS yang didapati tidak aktif.
Empat IPTS yang tidak dibenarkan lagi mengambil pelajar asing ialah Kolej Region (Kuala Lumpur), Kolej Antarabangsa Oakland (Negeri Sembilan), Kolej Plaza Antarabangsa (Kuala Lumpur) dan Institut Pengurusan dan Teknologi Utara (Iptura), Kedah.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed berkata, tindakan itu diambil selepas proses pengauditan dijalankan terhadap 182 IPTS dari April hingga 15 September lalu.
"Dalam kes terbaru, kementerian dan jabatan imigresen mendapati Iptura telah menyalahgunakan pas pelajar untuk mengambil pekerja asing.
"Berikutan itu, kementerian memperakukan penarikan balik kelulusan KHEDN (Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri) Iptura untuk mengambil pelajar antarabangsa dengan serta merta dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada institusi itu pada 15 September lalu,," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut laporan Bernama, kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyebut bilakah kelulusan bagi tiga buah lagi IPTS itu ditarik balik.
Langgar undang-undang
Menurut Mustapa, sehingga lalu, 552 IPTS diluluskan penubuhan dan pendaftarannya di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) iaitu 12 institusi bertaraf universiti, 12 bertaraf kolej universiti, lima kampus cawangan universiti luar negara dan 523 merupakan IPTS bukan bertaraf universiti.
Sejak April tahun ini, katanya, kementerian itu mengadakan audit insititusi, menyiasat semua kes aduan dan mengenakan kompaun terhadap IPTS yang melanggar undang-undang sebagai sebahagian usaha memantapkan sektor pendidikan swasta di negara ini.
Selain itu, lawatan pengesahan IPTS yang telah diberi kelulusan merekrut pelajar antarabangsa, mengumpulkan data mutakhir yang diperolehi secara on-line serta memantau iklan, turut dijalankan.
Sehingga ini, beliau berkata, kementeriannya telah menarik balik kelulusan penubuhan bagi 25 IPTS yang didapati tidak aktif selain menubuhkan pusat aduan yang akan membuat tindakan susulan dengan segera.
Kementerian tersebut juga telah mewujudkan pusat aduan yang dikendalikan Rosmin Mohamed Amin dan beliau boleh dihubungi melalui talian 03-8888 5155 atau e-mail di alamat rosmin@mohe.gov.my.
Senarai IPTS tidak aktif
Menurut kenyataan itu, berikut ialah senarai IPTS yang tidak aktif yang akan ditarik balik kelulusan penubuhannya:
* Kolej Utara Cawangan Ipoh (Perak)
* Institut Kecemerlangan Kontinuum (Selangor)
* Institut Maxisegar (Selangor)
* Institut Teknologi Federal, Petaling Jaya (Selangor)
* Kolej Asia Eropah (Selangor)
* Institut Teknologi Multimedia (Selangor)
* Institut Primatech (Johor)
* Kolej Komuniti YPJ, Batu Pahat (Johor)
* Kolej Komuniti YPJ, Kluang (Johor)
* Kolej Komuniti YPJ, Muar (Johor)
* Kolej Teknologi Maklumat Cemerlang (KTMC) (Johor)
* Kolej Utama (Johor)
* Institut Informatics, Muar (Johor)
* Institut Sarjana (Melaka)
* Institut Teknologi Komputer New Horizons (Melaka)
* Institut Informatics, Miri (Sarawak)
* Kolej Rifa, Seberang Jaya (Pulau Pinang)
* Kolej Kebangsaan Putra (Pulau Pinang)
* Strategic Business School (Pulau Pinang
* Institut Minda (Wilayah Persekutuan)
* Sekolah Perhotelan Pernas (Wilayah Persekutuan)
* TL Management Centre (Wilayah Persekutuan)
* Institut Hartamas (Wilayah Persekutuan)
* Institut Informatics, Sandakan (Sabah)
* Kolej Informasi Teknologi Cosmopect Tuaran (Sabah)

