OSA bukan penghalang banteras rasuah, kata Nazri
Kerajaan mempertahankan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang dianggap oleh pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai batu penghalang terhadap perang untuk membasmikan rasuah.
Kerajaan mempertahankan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang dianggap oleh pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai batu penghalang terhadap perang untuk membasmikan rasuah.
Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata, pendapat Tengku Razaleigh bahawa OSA menjadi penghalang kepada janji Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa "adalah tidak benar sama sekali".
"Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi kuasa untuk meneliti dokumen-dokumen walaupun ianya telah diklasifikasikan (rahsia) di bawah OSA," kata Nazri ketika menjawab soalan Tengku Razaleigh (BN-Gua Musang) sewaktu sesi soal-jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Nazri juga berkata, BPR boleh memulakan siasatan terhadap surat layang yang mengandungi dakwaan mengenai rasuah.
Dalam wawancara dengan malaysiakini bulan lalu, Tengku Razaleigh menggesa supaya dimansuhkan OSA, sebagai syarat wajib dalam memerangi rasuah.
OSA sentiasa menjadi sasaran kritikan badan-badan hak asasi manusia yang menyifatkannya sebagai satu undang-undang yang kejam.
Pada 2002, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Ezam Mohd Nor telah dihukum penjara di bawah OSA selepas mendedahkan laporan siasatan BPR terhadap dua orang kenamaan. Dia dibebaskan dua tahun kemudiannya selepas mahkamah tinggi membatalkan sabitan dan hukuman ke atasnya.
Indeks Bank Dunia
Dalam soalan tambahannya, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) mempersoalkan mengapa perlunya undang-undang tersebut.
Menurutnya, kedudukan ranking Malaysia dalam 'Penunjuk Urus-Tadbir Dunia 2006 ' Bank Dunia jatuh mendadak dalam tempoh 10 tahun lalu. Katanya, ini berpunca daripada kurangnya kebebasan maklumat.
Lim bertanya sama ada ini akan menyebabkan Perdana Menteri akan terus hilang kawalan pentadbiaran, tetapi ia disanggah oleh penyokong kerajaan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), yang menyifatkanya sebagai 'satu tuduhan liar'.
Nazri menjawab, kerajaan mengambil perhatian terhadap kedudukan ranking itu dan akan membaikinya, tetapi sekali lagi mengulangi bahawa OSA masih diperlukan.
"Kita perlu mengekalkan OSA untuk melaksanakan tanggungjawab kerajaan tanpa sebarang halangan," katanya sambil menambah bahawa dakwaan Lim mengenai perdana menteri adalah kurang tepat.
"Memandangkan sekarang kita diberi lebih kebebasan untuk bercakap, ia tidak bermakna (perdana menteri) hilang kawalan. Jika anda (Lim) merasakan kita perlu berbalik kepada gaya kepimpinan sebelumnya, mengapa tidak cadangkan kepada Dewan?" katanya.
Dalam
perbahasan
minggu lalu di Dewan Rakyat, penyokong kerajaan, Datuk Zaid Ibrahim (BN-Kota Baru) berkata, Abdullah masih gagal membawa pembaharuan walaupun telah tiga tahun memegang jawatan perdana menteri.
Abdullah, ketika berada di Cuba, menjawab beliau tidak hilang kawalan tetapi melakukan pembaharuan mengikut caranya, tetapi matlamatnya tetap sama. Berita asal

