Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga asing masih tak dibenar solat jemaah di masjid di Wilayah Persekutuan

Warga asing masih tidak dibenarkan menunaikan solat berjemaah termasuk solat Jumaat di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail ketika dihubungi berkata ini berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan pada 18 Mac.

"Untuk makluman, buat masa ini solat Jumaat dan kapasiti jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardhu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Garis panduan ini berkuat kuasa mulai 18 Mac 2021 mulai solat fardhu Subuh hingga suatu ketetapan baharu dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

"Setakat ini warga asing belum lagi diberikan kebenaran untuk menunaikan solat berjemaah di sama ada solat jumaat dan solat fardhu lima waktu seperti dalam SOP itu," katanya.

Mohd Ajid mengulas berhubung beberapa aduan bahawa warga asing tidak dibenarkan membuat solat jumaat di Masjid India, Kuala Lumpur.

Dia turut berkongsi garis panduan itu kepada Malaysiakini.

Garis panduan pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu lima waktu, solat sunat tarawih dan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan itu mentapkan hanya membenarkan warga negara lelaki, wanita dan kanak-kanak berusia lapan tahu ke atas dibenarkan.

 

Selain itu pemastautin tetap (PR) yang melazimi solat fardu berjemaah di masjid dan surau serta dikenali oleh Jawatankuasa Kariah dibenarkan. Pegawai dan kakitangan kedutaan negara asing juga dibenarkan.

Terdahulu, Malaysiakini menerima aduan daripada segelintir pihak dari kawasan Masjid India bahawa pihak pengurusan masjid itu tidak membenarkan warga asing membuat solat jumaat di masjid verkenaan.

Bagaimanapun, mereka berkata masjid lain seperti di Kampung Baru dan Masjid Negara tidak menghalang warga asing.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata bahawa pihaknya akan membuat semakan berhubung dakwaan masjid-masjid lain membenarkan warga asing solat jumaat.

"Pasukan Bahagian Pengurusan Masjid akan membuat semakan di Masjid Kampung Baru dan Masjid Negara," katanya

Lihat Komen
ADS