Malaysiakini
BERITA

Hamzah pelik NGO bantah hantar pendatang asing pulang ke negara asal

Haspaizi Zain

Diterbitkan

Kerajaan akan terus menghantar pulang warga asing mengikut prosedur seperti yang telah ditetapkan undang-undang negara, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Hairan dengan tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoal tindakan kerajaan menghantar pulang warga asing Hamzah berkata, dia tertanya-tanya adakah mereka sanggup membiayai kos harian yang ditanggung kerajaan bagi menjaga warga asing di pusat tahanan.

"Penghantaran pulang (membabitkan) warga asing yang bersalah, (apabila) sampai masa kita hantar pulang.

"Nak tahan mereka lagi buat apa? Yang saya tak faham ada NGO minta jangan hantar pulang tu, kenapa?

"Kalau sayang sangat (kepada warga asing tanpa izin), mereka tanggunglah kos... duduk hotel pun tak apa," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 24 Feb lalu, Jabatan Peguam Negara membantah permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dikemukakan dua NGO bagi mencabar keputusan kerajaan Malaysia menghantar pulang 1,200 warganegara Myanmar ke negara asal mereka.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata, pihaknya memaklumkan kepada mahkamah bahawa bantahan itu dibuat kerana Seksyen 59A Akta Imigresen 1959 tidak membenarkan semakan kehakiman kecuali atas alasan kegagalan mematuhi sebarang prosedur yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Selain menamakan kerajaan Malaysia selaku responden ketiga, kedua-dua pemohon turut menamakan ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri sebagai responden pertama dan kedua.

Pemohon mendakwa jika kesemua warga Myanmar itu dihantar pulang ke negara asal, mereka akan mengalami ancaman dan bahaya terhadap nyawa mereka berikutan trend kerajaan atau tentera Myanmar yang didakwa mendiskriminasi dan mengancam komuniti Muslim di negara berkenaan.

Hamzah berkata tidak ada sebab mengapa ada pihak yang perlu menghalang penghantaran pulang warga asing yang ingin kembali ke negara mereka.

"Kalau dia nak balik, kenapa ada orang nak tahan dia balik negara asal mereka?" katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.