Umno Kubang Pasu menyifatkan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin sebagai 'orang luar' yang tidak tahu situasi sebenar di bahagian tersebut.

"Sebagai orang luar, beliau boleh bercakap apa sahaja mengenai keputusan pemilihan perwakilan yang tidak memihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana beliau tidak tahu situasi sebenar di Kubang Pasu," kata Setiausaha Umno bahagian tersebut, Samsuddin Ahmad.

Kerana itulah, katanya, bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir itu menganggap ahli Umno Kubang Pasu tidak mengenang jasa Dr Mahathir.

Samsuddin menegas demikian ketika diminta mengulas kenyataan Aziz itu ekoran kegagalan Dr Mahathir terpilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November depan.

Jumaat lalu, Aziz yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, perwakilan Umno Kubang Pasu telah memalukan orang Melayu kerana bersikap tidak menghargai dan menghormati pemimpin yang banyak berjasa kepada mereka dan negara.

Aziz dilaporkan berkata, beliau sangat malu kepada bangsa asing kerana orang orang Melayu langsung tidak menghormati dan memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk menjadi perwakilan.

Tiada bantahan

Sedangkan, tambahnya, Dr Mahathir rela bertanding semata-mata ingin duduk bersama perwakilan lain di Perhimpunan Agung Umno akan datang tetapi hasrat beliau itu tertutup apabila kalah merebut satu kerusi sebagai perwakilan di Kubang Pasu.

Dalam mesyuarat Umno bahagian tersebut pada 9 September lalu, bekas Perdana Menteri itu memperolehi 227 undi di tempat kesembilan dan gagal terpilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November ini.

Bagaimanapun, anak bekas Presiden Umno itu, Datuk Mukhriz terpilih sebagai perwakilan selepas memperolehi 298 undi dan menduduki tempat kelima.

Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan. Tujuh daripadanya dipilih dalam mesyuarat bahagian dan enam lagi terdiri daripada pemegang jawatan utama dalam bahagian masing-masing.

Sementara itu, Samsuddin berkata, setakat ini, bahagian tersebut belum mendapat arahan rasmi sama ada dari Umno Negeri ataupun Majlis Tertinggi supaya menyiasat dakwaan Dr Mahathir mengenai berlakunya politik wang sewaktu pemilihan 9 September lalu.

Bagaimanapun, katanya, Umno Bahagian Kubang Pasu tidak menerima sebarang bantahan berhubung keputusan pemilihan tersebut.

Mukhriz tidak hadir mesyuarat

Katanya, tempoh bantahan juga telah tamat Ahad lalu, kerana sebarang bantahan mesti dibuat dalam tempoh seminggu selepas pemilihan diadakan seperti yang tercatat dalam perlembagaan Umno.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kekalahannya dalam mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu kerana politik wang yang diamalkan dalam pemilihan tersebut.

Bekas Presiden Umno itu mendakwa para perwakilan mendapat RM200 seorang supaya mereka memilih calon tertentu berdasarkan senarai calon yang diedarkan kepada perwakilan.

"Tun Dr Mahathir sendiri tidak datang membuat bantahan mengenai dakwaan rasuah tersebut. Mungkin beliau lebih arif mengenainya," kata Samsuddin lagi.

Mengulas anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz yang cuma mendapat tempat kelima berbanding tempat pertama pada tahun lalu, Samsuddin berkata, `dulu lain sekarang lain'.

Katanya, ini mungkin disebabkan Mukhriz tidak hadir dalam sembilan mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian Kubang Pasu yang diadakan tahun ini.