Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kebertanggungjawaban bukan sekadar beritahu jumlah dana dibelanja'
Diterbitkan:  Apr 9, 2021 12:38 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Lim Guan Eng menyangkal kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan mengekalkan kebertanggungjawaban dalam perbelanjaan ketika darurat.

Menurut bekas menteri kewangan itu, kenyataan Zafrul bahawa ia dilakukan dengan membentangkan perbelanjaan yang telah dibuat, sebagai satu penghinaan kepada Parlimen.

"Sekadar menerbitkan warta Kerajaan Persekutuan atau Negeri berkenaan jumlah perbelanjaan yang dilakukan ketika darurat, tidak sama dengan amalan ketelusan atau kebertanggungjawaban.

"Ini memperlecehkan peranan Parlimen," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan ordinan darurat baru yang membolehkan kerajaan persekutuan dan negeri meluluskan perbelanjaan tambahan tanpa melepasi Parlimen.

Undang-undang baru ini membenarkan perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif sepanjang penguatkuasaan darurat.

Undang-undang ini mendapat kritikan ramai yang mendakwa kerajaan ingin berbelanja tanpa semak dan imbang.

Zafrul pula berkata ordinan itu perlu kerana Parlimen telah digantung sepanjang tempoh darurat.

Bagaimanapun Lim berkata langkah menyatakan jumlah perbelanjaan tidak boleh menggantikan autoriti perundangan Parlimen.

"Puluhan bilion wang negara kini hanya ditentukan oleh seorang individu dan bukannya melalui sistem semak dan imbang demokrasi berparlimen.

"Parlimen adalah platform yang tepat untuk menyemak salah guna kuasa, penyelewengan kewangan, dan salah guna dana awam untuk tujuan politik," katanya.

Dia memberikan pemotongan peruntukan terhadap Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) - daripada RM85.5 juta kepada RM40.5 juta - sebagai contoh peranan Parlimen.

Lim turut mengulangi janji DAP bahawa ahli Parlimen parti itu tidak akan menyokong mahupun mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekiranya Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos, iaitu tarikh darurat dijadual tamat.

Lihat Komen
ADS