Panglima Tentera Thai Jeneral Sonthi Boonyaratglin melakukan rampasan kuasa di ibu negara Thai Selasa malam ketika Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berada di New York menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Sonthi mengisytiharkan menerusi radio tentera bahawa Thaksin telah digulingkan oleh "Majlis Reformasi Demokratik" kerana terdapat keperluan mengawal krisis politik untuk kepentingan negara.

"Kami mahu ini berlaku secara aman dan kami akan mengembalikan demokrasi secepat mungkin," menurut kenyataan itu.

Beliau juga berkata semua unit tentera tidak dibenar meninggalkan berek mereka tanpa perintah daripada majlis itu berikutan laporan bahawa askar yang setia kepada Thaksin akan cuba menamatkan rampasan kuasa itu.

Berpuluh-puluh askar di bawah perintah Sonthi dengan kereta kebal dan trak tentera menguasai Rumah Kerajaan dan saluran televisyen oleh kerana semua program biasa di saluran TV tempatan telah dihentikan dan digantikan dengan dokumentari atau muzik mac menyanjungi Raja Bumiphol Adulyadej.

PM sementara

Menurut sumber tentera, Raja Bumiphol dijangka melantik seorang hakim Mahkamah Pentadbiran Agung atau Majlis Privy sebagai perdana menteri kerajaan sementara.

Menurut laporan Bernama, saksi berkata, kereta kebal dapat dilihat di beberapa tempat di ibu negara walaupun perintah berkurung belum diisytiharkan setakat tengah malam tadi dan kenderaan masih dilihat berulang-alik.

Thaksin, 57, menjadi Perdana menteri Pada 2001 dan kembali berkuasa dalam pilihanraya mengejut pada 2 April tahun ini.

Bagaimanapun, bekas bilionair telekomunikasi itu mengalami tekanan agar meletak jawatan berikutan dakwaan salahguna kuasa, rasuah dan jualan Shin Corporation milik keluarganya tanpa cukai kepada Temasek Holdings dari Singapura awal tahun ini.

Mahkamah Perlembagaan juga mengisytiharkan pilihanraya pada 2 April itu sebagai tidak sah dan pilihanraya baru dijangkakan pada November.

Terdahulu, terdapat rancangan untuk mengadakan rapat umum anti-Thaksin dekat Rumah Kerajaan lewat hari ini.

Gabenor Bank Thailand

Sementara itu, satu laporan Bernama dari Bangkok menyebut, Gabenor Bank Thailand, Pridayadhorn Devakula diramal menjadi calon utama bagi jawatan Perdana Menteri sementara Thailand.

Akhbar The Nation dalam lamanwebnya berkata Pridayadhorn, yang berada di Singapura bagi menghadiri mesyuarat Dana Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, sudah memendekkan tempoh beliau berada di republik itu.

Ia memetik Pridayadhorn sebagai berkata beliau sudah bersetuju menjadi Perdana Menteri dan satu pengumuman akan dibuat hari ini.

Dalam satu temuramah di saluran Channel Five, stesen televisyen yang dikawal kerajaan, Sonthi berkata beliau akan memberi taklimat kepada para duta besar negara asing hari ini, tentang sebab-sebab rampasan kuasa, serta langkah-langkah yang diambil bagi mengawal keadaan.

Beliau berkata keselamatan warga asing dalam negara dijamin.

Amaran keras

Beliau turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyertai sebarang demonstrasi politik, manakala para peniaga diingatkan supaya tidak menyorok barang atau menaikkan harga dagangan sesuka hati ekoran rampasan kuasa lewat malam tadi.

Walaupun ibu kota negara itu kelihatan kekal tenang, namun terdapat juga kebimbangan tentang kemungkinan penyokong Thaksin akan mengadakan demonstrasi, atau cuba mengembalikan kerajaan Thaksin.

Sonthi berkata mereka yang melanggar undang-undang akan dihukum penjara enam bulan atau didenda Bt10,000 baht atau kedua-duanya sekali.

Merujuk kepada kegiatan peniaga yang menyorok barang atau menaikkan harga barang bagi mengambil kesempatan terhadap keadaan dalam negara itu, Sonthi berkata mereka akan menghadapi hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun atau denda Bt100,000 atau kedua-duanya sekali.

Panglima Tentera itu juga memberitahu pihak media supaya tidak membuat laporan yang keterlaluan, dan hanya menulis tentang perkara yang berhubung dengan fakta yang tepat.