Abdullah terkejut dengan rampasan kuasa di Thailand
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan rasa terkejut dengan rampasan kuasa tentera di Thailand, dan berharap negara itu segera diperintah semula oleh kerajaan yang dipilih secara demokrasi.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan rasa terkejut dengan rampasan kuasa tentera di Thailand, dan berharap negara itu segera diperintah semula oleh kerajaan yang dipilih secara demokrasi.
"Saya terkejut sebenarnya, saya tak sangka akan berlaku satu rampasan kuasa di Thailand," kata Perdana Menteri ketika ditanya reaksinya mengenai rampasan kuasa itu pada sidang media semalam, yang dihadiri wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung ke-61 Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
"Ini bukanlah satu cara perubahan kerajaan yang orang suka lihat kerana sebaiknya-baiknya perubahan kerajaan itu ialah melalui pilihanraya," katanya.
Menurut laporan Bernama, Abdullah bagaimanapun berkata, pihak yang bertanggungjawab dalam rampasan kuasa di Thailand itu telah menyatakan bahawa demokrasi akan dipulihkan segera.
"Itu adalah pengakuan yang kita harap dapat dilaksanakan secepat mungkin, dan kalau boleh pilihanraya yang ditetapkan itu akan dapat diadakan pada masa yang sesuai," katanya.
Panglima Tentera Thailand Jeneral Sonthi Boonyaratglin memimpin rampasan kuasa di ibu negara Thailanda itu ketika Perdana Menteri Thai Thaksin Shinawatra berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB.
Sonthi mengisytiharkan menerusi siaran radio tentera bahawa Thaksin telah digulingkan oleh "Majlis Pembaharuan Demokrasi" kerana wujudnya keperluan mengawal krisis politik di negara itu demi kebaikan negara.
Pulihkan demokrasi
"Kami mahu ia berlaku secara aman dan kami akan memulihkan demokrasi secepat mungkin," menurut pengumuman itu.
Abdullah berkata beliau berhasrat bertemu Thaksin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai apa yang berlaku tetapi pertemuan itu tidak dapat diadakan kerana beliau (Abdullah) mempunyai program yang ketat semasa di New York.
Buat masa ini, kata Perdana Menteri, Malaysia tiada mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya supaya jangan mengunjungi Thailand.
"Kita akan memantau keadaan di Thailand," katanya, sambil menasihati rakyat Malaysia supaya turut memantau situasi terbaru di negara jiran itu menerusi media cetak dan elektronik.
Bagaimanapun, katanya, sebaik-baiknya rakyat Malaysia mempertimbangkan untuk menangguhkan kunjungan mereka ke Thailand sekiranya undang-undang tentera atau perintah berkurung dikuatkuasakan di negara itu.
"Kalau ada apa-apa pergaduhan eloklah jangan pergi. Tetapi kalau tidak ada apa-apa, kalau pihak pemerintah janji para peniaga misalnya atau sesiapa sahaja boleh pergi, maka itu tidak menjadi masalah," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.