Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pejuang belum putus bersendirian atau sertai gabungan - Mukhriz

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bersendirian atau menyertai mana-mana gabungan pada  pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata, keputusan akan dibuat apabila tiba masanya nanti.

“Buat masa ini juga kita tidak membuat keputusan mengenai adakah kita akan bersendirian ataupun kita akan menganggotai satu gabungan.

“Jadi kita masih terbuka dalam hal itu. Kita belum membuat sebarang keputusan. Jadi bila dah dekat masanya nanti kita akan buat pengumuman,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Parti Pejuang Tanah Air Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Pakatan Harapan (PH) menyatakan bahawa gabungan itu mengambil pendekatan “khemah besar” bagi menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar politik mereka bagi memulihkan demokrasi negara.

Bagaimanapun kata gabungan tersebut, golongan kleptokrat tidak dialu-alukan untuk berada di bawah “khemah besar” berkenaan.

Penegasan itu sekali lagi diulangi oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika tersebar audio yang didakwa perbualan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam rakaman berkenaan, suara yang mirip kedua-dua tokoh itu didengar bercakap mengenai 'kejayaan' Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung baru-baru ini.

Audio itu juga muncul ketika bertiup spekulasi rundingan antara PKR dan 'kluster mahkamah' daripada Umno untuk menjalinkan kerjasama politik.

Kluster mahkamah merujuk kepada pemimpin Umno yang dibicarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa termasuk Zahid dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Anwar dan Zahid telah menafikan kesahihan audio berkenaan.

Namun Anwar semalam mempersoalkan apakah dia melakukan sebarang jenayah sekiranya rakaman video tersebut adalah tulen.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata partinya tidak akan sama sekali bersekongkol dengan pihak yang sanggup bekerjasama dengan 'kluster mahkamah'.

“Jadi bab yang kami konsisten daripada awal dulu di mana kluster mahkamah ni ada, kami tidak ada.

"Sekarang ni dalam Perikatan Nasional, kalau dia berpindah pula ke Pakatan Harapan contohnya, maka kami juga tidak akan ke sana," jelas ahli parlimen Jerlun itu.

Mukhriz juga berkata keputusan yang dibuat pengasas Pejuang, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini agar parti itu menjadi blok ketiga adalah tepat.

“Jadi betullah, keputusan yang telah dibuat oleh ayahanda Tun, di peringkat awal lagi Pejuang ini blok ketiga.

"Jadi kami tidaklah ke kanan ataupun ke kiri kerana kita ada pendirian kita yang tersendiri dan nampaknya pendirian itu tepat,”katanya.

Untuk rekod, Pejuang merupakan parti serpihan Bersatu yang dipimpin Mahathir dan beberapa lagi bekas pemimpin Bersatu.

Bersatu, yang diketuai presidennya, Muhyiddin Yassin membuat keputusan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 untuk membentuk kerajaan baru bersama BN dan PAS.

Lihat Komen
ADS