Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau betul apa masalahnya? Ada khianat? Ada jenayah?'
Diterbitkan:  Apr 10, 2021 12:18 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan adakah dia melakukan sebarang jenayah sekiranya rakaman audio didakwa melibatkannya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah tulen.

“Tapi apa isunya? Isu dia nak alih daripada soal rasuah sekarang, (isu) penggantungan parlimen, dasar (yang bermasalah) dan nasib rakyat.

“Ini yang dia nak alih, (sebaliknya) audio jadi keutamaan. Kalau betul, apa masalah dia? Ada (berlaku) khianat di situ? Ada jenayah? Tak ada," katanya.

Ahli parlimen Port Dickson itu berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan pada sesi dialog anjuaran Majlis Profesor Negara di Kajang, Selangor hari ini.

Anwar sebelum itu ditanya mengenai kesahihan klip audio sepanjang 4 minit tersebut yang mula ditularkan sejak beberapa hari lalu.

Selain Anwar, Ahmad Zahid juga diasak oleh pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin partinya sendiri serta menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu berkenaan.

Antaranya ialah Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Anwar juga berkata, dia sudah membuat kenyataan mengenai audio tersebut, dan hal sama juga dibuat oleh Ahmad Zahid.

“Saya sudah buat kenyataan, Zahid dah buat kenyataan... cukup,” katanya.

Anwar juga berkata, dia masih belum membuat laporan polis berhubung perkara tersebut kerana baru pulang dari program Pakatan Harapan di Port Dickson, Negeri Sembilan yang tamat semalam.

Jadi modal politik

Terdahulu, Anwar menafikan kesahihan klip audio terbabit dan mendakwa ia merupakan usaha kepimpinan kerajaan PN selepas mereka gagal "mengugut" dan "merasuah" pemimpin pembangkang. 

Anwar turut mendakwa PN menggunakan isu klip audio sebagai bahan politik namun pada masa sama mereka tidak mempersoalkan rakaman yang melibatkan pemimpin mereka sendiri.

“Kenapa kerajaan ini riuh rendah... (adakah) tidak pernah dengar pasal video dan audio yang lain? Banyak!

“Nampaknya, (klip audio) hanya nak dijadikan modal politik untuk hebahkan Anwar-Zahid.

“Siapa yang tidak dengar audio (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin) yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, kaitkan akan beri jawatan menteri dan GLC kepada Umno?" soal Anwar.

Untuk rekod beberapa klip audio perbualan didakwa suara Muhyiddin dalam mesyuarat pimpinan tinggi Bersatu juga pernah tular apabila dia menjadi perdana menteri tahun lalu.

Beberapa pihak yang hadir mesyuarat tersebut telah mengesahkan perbualan dalam klip audio terbabit.

Antara lain audio berkenaan menarik perhatian ramai apabila suara terbabit bercakap mengenai pelaksanaan scheme of things untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen pelbagai parti dengan menawarkan kepada mereka pangkat atau jawatan tinggi

Ia berlaku ketika kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti diragui pelbagai pihak.

Sehingga kini, Muhyiddin masih tidak mengesahkan atau menafikan klip audio tersebut.

Lihat Komen
ADS