Panglima Tentera Thailand Jeneral Sonthi Boonyaratglin, seorang Muslim pertama memegang tampuk pentadbiran tentera Thailand yang mengetuai rampasan kuasa malam tadi, menuduh Thaksin Shinawatra telah memecah-belahkan negara, menghina raja dan mengendalikan kerajaan yang rasuah.

Beliau yang muncul buat pertama kali dalam siaran televisyen negara pagi ini bagi membuat pengesahan tentang rampasan kuasa yang menumbangkan kerajaan pimpinan Thaksin.

Menurut laporan Bernama, Jeneral Sonthi yang diapit oleh lain-lain panglima tentera (laut dan udara) membacakan kenyataan yang menjelaskan sebab-sebab mengapa rampasan kuasa dilaksanakan.

Katanya, rampasan kuasa oleh kumpulan tentera yang menamakan diri sebagai Majlis Pembaharuan Demokratik, ditubuhkan ekoran pentadbiran Thaksin yang lemah dan berbahaya kepada negara.

Dalam kenyataannya yang sama seperti pengumuman terdahulu yang dibuat menerusi televisyen, Sothi berkata Thaksin sering campur tangan dalam perjalanan badan-badan kerajaan yang bebas "yang menjadikan sukar bagi mereka melaksanakan tanggungjawab mereka".

Bubar Parlimen

"Ada banyak kepentingan peribadi terlibat," kata sambil meminta 64 juta rakyat Thailand menyokong pihak berkuasa negara yang baru dan berjanji untuk mengembalikan demokrasi, dan kuasa untuk memilih kepada rakyat.

Tentera juga sudah membubarkan Parlimen, Perlembagaan 1997 dan Mahkamah Perlembagaan.

Sebaik sahaja kenyataannya itu tamat, semua saluran televisyen yang sudah berada dalam kawalan tentera, mula menyiarkan program-program harian seperti biasa, berserta dengan komentar tentang rampasan kuasa.

Rancangan televisyen berkenaan sebelum ini hanya menyiarkan dokumentari muzik patriotik yang memuji Raja Bumiphol Adulyadej, sejak lewat tengah malam tadi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sekiranya beliau akan menerajui kerajaan baru, atau tentang pelantikan seorang perdana menteri bagi kerajaan sementara Thailand.