Enam timbalan pendakwaraya (DPP) daripada Pejabat Peguam Negara telah mengadakan pertemuan dengan Barisan Bertindak Agama Hindu (Hindraf) berhubung tindakan pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil-kuil Hindu baru-baru.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy berkata, pertemuan tersebut yang diadakan dua minggu lalu, adalah atas permintaan DPP tersebut yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu tersebut.

"Kami mengharapkan mereka membuat beberapa syor kepada kerajaan untuk menyelesaikan perkara tersebut," katanya Waythamoorthy tetapi enggan mendedahkan apa yang dibincangkan dalam pertemuan tertutup itu.

Sebelum ini, Hindraf mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Peguam Negara Tan Sri Gani Patail jika beliau tidak memberi penjelasan mengenai tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan itu.

Mereka telah memperjuangkan isu perobohan kuil Hindu yang dianggap sebagai 'binaan haram' oleh pihak berkuasa dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Walaupun tiada lagi kuil yang diroboh kebelakangan ini, tetapi pihak kerajaan telah gagal untuk membuat pendirian tegas mengenai perkara itu dan oleh itu, kami masih meneruskan kempen kami di peringkat antarabangsa," kata Waythamoorthy.

Penggantungan sementara

Hasil rundingan antara Malaysian Hindu Sangam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, tindakan perobohan kuil di Kuala Lumpur telah digantung sementara.

Hindraf telah berkempen menentang tindakan meroboh kuil Hindu serta membuat rayuan kepada pelbagai pihak, antaranya pihak berkuasa tempatan, Pejabat Peguam Negara, Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Ogos lalu, ia menyerahkan aduan rasmi kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, iaitu sebahagian daripada kempen di peringkat antarabangsa terhadap isu perobohan kuil.

Walaupun tindakan perobohan kuil tersebut bukan fenomena baru di Malaysia, tetapi ianya semakin meningkat sejak bulan Februari, terutama di Kuala Lumpur dan Shah Alam. Bahan asal