Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak bercadang melaksanakan sistem mengundi secara elektronik dalam pilihanraya kerana para pengundi lebih selesa dengan cara sedia ada, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Menurutnya, SPR pernah mengemukakan cadangan untuk menggunakan kaedah terbaru itu empat tahun lalu, tetapi mendapat bantahan daripada pengundi.

"Kami menjalankan beberapa tinjauan di kalangan pengundi sama ada mahukan pengundian secara elektronik atau kekal dengan sistem undian menggunakan kertas.

"Kebanyakan jawapan menunjukkan orang ramai menolak sistem elektronik kerana mereka masih suka pergi ke pusat mengundi, diberikan kertas, pergi ke petak mengundi, ambil pensil dan menanda nama yang mereka pilih.

"Kedua, saya fikir mereka curiga terhadap kaedah elektronik ini. Kami akan menghadapi masalah dengan parti politik nanti dan kami akan ke mahkamah lebih kerap kerana mereka mungkin menganggap mesin yang digunakan telah diprogram," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Uzbekistan Abdul Salomov di Putrajaya hari ini.

Layak mengundi

Menurut laporan Bernama, Abdul Rashid berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia mempunyai cadangan untuk melaksanakan sistem pengundian secara elektronik seperti yang sedang dirancang kerajaan Uzbekistan untuk pilihanrayanya.

Terdahulu, beliau dan Salomov menandatangani surat perjanjian sebagai tanda kesediaan kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam mana-mana bidang yang akan dikenal pasti yang boleh memberi manfaat bersama.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia hanya mempunyai kira-kira 10 juta orang yang layak mengundi dan mereka juga telah berasa selesa dengan cara sedia ada.

"Saya fikir biarlah diteruskan. Kosnya minimal, tidak terlalu mahal, tetapi jika penduduk semakin bertambah pada masa depan, saya rasa kita patut laksanakannya kerana ia boleh membantu mempercepatkan keputusan," katanya.

Bagaimanapun, katanya setakat ini, SPR tidak mempunyai masalah dari segi pengumuman keputusan pilihanraya kerana menjelang jam 9 malam, kerajaan baru telah dapat diumumkan.

Sementara itu, Salomov dalam sidang akhbar itu berkata projek yang dirancang bagi tempoh lima tahun itu akan dapat mengenalpasti siapa yang mengundi dan siapa yang tidak mengundi selain memastikan proses pilihanraya berjalan lancar.