mk-logo
Berita
Hujan lebat, ribut petir: Pokok tumbang sekitar KL
Diterbitkan:  Apr 12, 2021 3:25 PM
Dikemaskini: 3:25 PM

Hujan lebat dan ribut petir di ibu negara petang tadi mengakibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur antara kawasan terlibat dalam kejadian dari 6.23 petang hingga 7.04 malam itu adalah Jalan Perkasa, Taman Maluri; Taman Rama-Rama Cendasari, Bukit Aman; Pondok Polis Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri; Taman Ikan Emas, Jalan Kaskas; Pangsapuri Indah Mas dan Taman Shamelin Perkasa.

Pokok tumbang turut menjejaskan laluan ke Stesen LRT Maluri menghala ke Stesen LRT Pandan Jaya.

“Kerja-kerja memotong pokok di laluan tersebut masih diteruskan dan para penumpang dikeluarkan oleh kakitangan LRT dan anggota bomba,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian di Jalan Perkasa, wanita berumur 33 tahun bersama empat anak berusia lapan hingga 13 tahun nyaris maut apabila rumah teres mereka dihempap pokok kira-kira 6.39 petang, namun semuanya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan di lokasi terbabit turut rosak akibat ditimpa pokok tumbang, namun tidak membabitkan mangsa," menurut kenyataan itu malam ini.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Pudu, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Cheras terlibat dalam tugas menyelamat selain memotong dan mengalihkan pokok tumbang di semua lokasi terjejas.

- Bernama

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini