Para pelajar Malaysia akan dibawa balik sekiranya keadaan politik di Thailand menjadi semakin buruk, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Adham Baba.

Menjawab soalan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Omar (BN-Larut) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, Kedutaan Malaysia di Bangkok telah menghubungi beberapa pelajar Malaysia yang mengambil PhD di Universiti Chulalongkorn dan Universit Thammasat.

Raja Ahmad Zainuddin ingin tahu status para pelajar Malaysia ekoran rampasan kuasa oleh pihak tentera di Thailand malam tadi.

Manakala Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek pula memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan memantau secara rapat perkembangan di Thailand.

Menjawab soalan Datuk Mahadzir Mohd Khir (BN-Sungai Petani), Shabery berkata adalah sukar untuk membuat sebarang kenyataan hari ini sama ada Malaysia mengiktiraf kerajaan baru negara itu.

Kerajaan baru

Menurutnya, kesahihannya bergantung kepada penerimaan rakyat terhadap kerajaan baru itu dan di segi perlembagaannya.

"Ia bukan suatu perkara mudah untuk kita putuskan, jadi kita akan tunggu dan lihat perkembangannya," katanya.

Ahmad Shabery memberitahu pemberita di lobi Parlimen bahawa tiada peringatan perjalanan yang baru akan dikeluarkan untuk sementara waktu ini, kepada rakyat Malaysia yang mahu pergi ke Thailand.

Katanya, kerajaan telah mengeluarkan amaran perjalanan sebelum ini sewaktu tercetuskan keganasan di wilayah selatan Thai dan "kini kita mahu mengingatkan rakyat supaya berhati-hati".

"Kita tidak boleh kata rakyat Malaysia tidak boleh pergi ke sana kerana tidak berlaku sebarang keganasan tetapi keadaannya boleh menjadi tidak menentu," tambahnya.

Pulihkan demokrasi

Dalam satu perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berkata tiada air mata untuk Thaksin tetapi adalah untuk demokrasi di Thailand.

Dalam satu kenyataan, beliau juga berkata bahawa Majlis Reformasi Demokratik mesti memulihkan segera institusi perlembagaan dan proses demokrasi.

Ini, katanya, bukan sahaja untuk demokrasi Thailand dan seluruh Asean, tetapi juga untuk mewujudkan stabilan politik di Thailand dan juga di rantau Asia Tenggara.