Seorang warga emas dihukum penjara selama 12 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu di Kelantan hari ini, selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita orang kurang upaya (OKU) sehingga mengandung.

Tertuduh Aziz Mamat, 60, yang juga seorang pembantu kedai basikal mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada bulan Oktober 2020 kira-kira jam 7 petang bertempat di sebuah rumah di Kampung Kuin Pasir, Bachok, merogol seorang wanita, 40, yang diketahui mengalami kecacatan mental.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizuan Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Aziz merayu agar hukuman ringan dikenakan terhadapnya memandangkan usianya sudah tua dan menghidapi penyakit gout.

Mohd Faizuan bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kerana mangsa merupakan seorang wanita OKU dan didapati hamil serta mengalami keguguran.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh dipenjara 12 tahun bermula tarikh tangkapan dan satu sebatan.

Sementara itu mengikut fakta kes, kejadian itu terbongkar selepas kakak ipar mangsa berusia 47 tahun mendapati adik iparnya tidak datang bulan dan hasil ujian kehamilan mendapati wanita itu mengandung.

Mangsa memaklumkan dia dirogol tertuduh sebelum membuat laporan di Balai Polis Bachok. Tertuduh menyerah diri di pejabat Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok 7 April lalu bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan mendapati mangsa dirogol sehingga mengandung 22 minggu, namun mengalami keguguran 7 April lalu.