Presiden PAS Abdul Hadi Awang membidas pihak yang cuba menggagalkan usaha untuk mengaktifkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit).

Abdul Hadi berkata, D-8 ditubuhkan pada tahun 1997 yang dianggotai negara Islam Turki, Iran, Pakistan, Mesir, Indonesia, Malaysia, Nigeria dan Bangladesh.

Kata Abdul Hadi amat malang apabila ada sebahagian dalam kalangan negara Islam bersikap negatif terhadap D-8.

"Lebih malang lagi, terdapat dalam kalangan mereka itu bersedia menjadi alat untuk menggagalkan matlamat D-8 yang diatur sebegitu rupa demi kebaikan dan kemajuan mereka sendiri.

"Mereka berusaha menggagalkan sebarang usaha untuk mengaktifkan D-8 melalui Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) antara empat buah negara yang dikecilkan jumlahnya, bagi memudahkan masing-masing bergerak secara aktif dan usaha dalam mengaktifkan semula D-8.

"Mereka yang bersikap negatif itu memberikan alasan yang sangat dangkal dan masalah yang terlalu remeh. Lebih terang lagi bersuluh, sekiranya dibaca kenyataan media beberapa negara tersebut yang jelas menunjukkan mereka itu laksana kerbau yang dicucuk hidung, boleh diheret untuk menjadi perahan susu, membajak tanah, dilagakan sesama kerbau dan disembelih apabila perlu," kata Abdul Hadi dalam tulisan di Facebooknya, hari ini.

Pada 7 April lalu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak D-8 Ke-10 yang diadakan secara maya.

Menurut kenyataan Wisma Putra, sidang kemuncak maya itu dihoskan Bangladesh, selaku Pengerusi Sidang Kemuncak D-8.

Sidang Kemuncak dimulakan dengan Sesi Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri D-8 Ke-19 pada 7 April yang akan disertai Menteri Luar, Hishammuddin Hussein.

Abdul Hadi berkata tidak salah diadakan satu pakatan antara negara umat Islam, selepas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dilihat terhad peranannya.

"Tujuan kerjasama D-8 lebih menumpukan kepada kerjasama kemanusiaan, ekonomi dan keamanan.

"Kumpulan negara Islam D-8 pada awalnya menunjukkan beberapa inisiatif dalam aspek kerjasama ekonomi dan teknologi.

"Kerjasama dapat diwujudkan walaupun terdapat perbezaan ideologi politik, kesan daripada zaman penjajahan di negara masing-masing di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya lagi.