Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua orang berhak sertai mana-mana parti, kata Hamzah jawab Dr M

Setiap orang berhak memberi pandangan dan pendapat serta menyertai mana-mana parti politik, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin.

Pada masa sama ahli parlimen Larut itu berkata gabungan berkenan - yang muncul selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan pada akhir Feb tahun lalu - berhak menerima sesiapa saja jika ia selaras dengan perlembagaan.

Hamzah demikian sebagai mengulas kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata dia "mungkin" mempertimbang untuk menyertai PN jika tiada 'penjenayah' dalam kerajaan sekarang.

"Semua orang boleh beri pandangan, pandapat. Semua ada hak untuk menyertai mana-mana parti yang dia nak.

"PN boleh terima mana-mana yang mahu ikut perkara yang ada dalam Perlembagaan PN," katanya dalam sidang media di Putrajaya petang ini.

Terdahulu, dalam wawancara bersama Malaysiakini pada Rabu, Mahathir itu mengakui ada usaha dilakukan untuk membawa dia menyertai gabungan PN.

Mahathir berkata usaha itu tidak berjaya kerana dia tidak boleh bekerjasama dengan beberapa 'penjenayah' yang menyokong kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, Mahathir berkata keadaan itu mungkin berbeza jika individu berkenaan berada di luar PN.

"Bukan saja masa tu (ketika Langkah Sheraton), sekarang pun ada usaha nak tarik saya masuk. Saya tak boleh.

"Saya buat ucapan janji dengan orang kita nak tolak Najib (Razak), saya tak boleh kerjasama dengan Najib.

"Parti (Umno) sekarang ni kalau tak ada Najib dan empat, lima orang lagi kluster mahkamah tu, jatuh.

"Dia orang bergantung (pertama) kepada bukan Melayu, kedua, penjenayah. Saya tidak boleh dikaitkan dengannya," katanya.

Mahathir merujuk kepada bekas perdana menteri Najib dan beberapa pemimpin Umno lain, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, yang kini menghadapi tuduhan jenayah di mahkamah.

Lihat Komen
ADS