Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bansa Bersatu (PBB) bahawa Islam bukan punca berlaku sikap tidak toleran pengamal kepercayaan yang berbeza serta menggesa agar perbuatan memomok Islam dihentikan dan penyakit "Islamophobia" dihapuskan.

"Politik menakut-nakutkan tidak lagi harus menguasai cara mengendali hubungan antara insan dan negara-negara. Jika tidak, prasangka dan sikap tidak rasional akan terus menonjol dalam urusan dunia dan dialog akan tetap gagal," kata Abdullah selaku pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada sesi ke-61 Perhimpunan Agung badan dunia yang dianggotai 192 negara semalam.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri turut menyarankan diadakan dialog ikhlas di kalangan insan sejagat yang bertelingkah, sambil memberikan pandangannya bagi merapatkan jurang perbezaan antara Barat dengan dunia Islam.

Abdullah berucap dari perspektif seorang pemimpin Islam yang prihatin terhadap prasangka dan penghinaan dialami dunia Islam ketika penaklukan dan pemusnahan bumi Islam seperti Palestin, Afghanistan, Iraq dan Lubnan dilakukan atas nama memerangani keganasan.

Perdana Menteri berkata beliau sendiri merasa cukup terganggu melihat kebanyakan masalah dalam urusan dunia adalah akibat tindakan tidak rasional tercetus dari prasangka pada sikap manusia, kegagalan berdialog, berkomunikasi dan mendekati satu sama lain selaku masyarakat insan yang menghuni planet yang sama.

"Jelas sekali keluarga insan mesti bersatu dan bercakap antara satu sama lain jika kita hendak mengatasi masalah yang mengancam untuk menghapus kita semua.

"Bagaimanapun, untuk bercakap memang mudah. Untuk berdialog dan berhubungan lebih sukar," kata beliau, sambil menegaskan bahawa kebanyakan dialog berakhir dengan satu pihak mengecam pihak yang lain dan bukan berbincang sesama mereka.

"Dalam perhubungan kita, kita tidak harus bertindak sebagai penaung atau pula merendah diri dan pastinya tidak mengancam," kata Abdullah.

Sidang akhir Kofi Annan

Sesi Perhimpungan Agung sekarang adalah yang terakhir dihadiri oleh Setiausaha Agung PBB Kofi Annan yang akan melepaskan jawatan itu pada hujung tahun ini, selepas 10 tahun menerajui badan dunia itu yang terbentuk pada 1945 selepas Perang Dunia Kedua.

Antara agenda sidang itu ialah konflik Timur Tengah, isu nuklear Iran, keganasan yang berterusan di wilayah Darfur di Sudan, ketidaktentuan di Iraq dan Afghanistan, dan situasi di wilayah Kosovo yang berpisah dari Serbia yang ditadbir oleh PBB sejak Nato memaksa askar Serbia keluar pada 1999.

Isu-isu lain termasuk usaha mencari pengganti Annan dan pembaharuan PBB - termasuk persoalan sama ada Majlis Keselamatan harus diperbesarkan.

Abdullah berkata kegelisahan paling besar kini wujud di kalangan keturunan Nabi Ibrahim pengikut agama Yahudi, Kristian dan Islam yang berkongsi permulaan yang sama iaitu agama Ibrahim.

Beliau berkata, penghinaan yang dirasai oleh dunia Islam adalah punca utama hilangnya kepercayaan dan keyakinan antara dunia Islam di sebelah pihak dengan tamadun Yahudi-Kristian di pihak yang lain.

Prejudis terhadap Islam tercetus daripada kurangnya pemahaman sifat sebenar Islam, kata Abdullah sambil menyebut sebagai contoh, kurangnya kesedaran di barat tentang peranan agama dalam bidang kehidupan masyarakat dan peribadi Muslim.

Abdullah berkata, Islam di Malaysia yang multi-etnik, multi-agama dan multi-budaya dihormati sebagai agama rasmi ketika kerajaan melakukan pendekatan "Islam Hadhari" bagi menampilkan pemahaman wajar mengenai Islam sebagai kuasa untuk kebaikan.

"Pendekatan ini diterima oleh setiap orang di Malaysia kerana yang tersirat pada keseluruhan mesej Islam Hadhari ialah seruan bagi pembangunan dan kemajuan yang saksama. Seruan untuk kesederhanaan dan toleransi serta jaminan untuk keadilan dan kesaksamaan bagi semua tidak kira apa kepercayaan mereka," kata beliau.

Kerajaan Hamas

Perdana Menteri menegaskan sebarang dialog pasti gagal jika dari awal lagi sudah ditentukan bahawa negara tertentu adalah "jahat" atau "durjana" dan ini memberi alasan untuk tidak mahu mendengar, apatah lagi untuk menyertai rundingan serius bagi mencari penyelesaian baik terhadap masalah serius.

Negara-negara yang dikata menganjurkan keganasan dan mendapatkan senjata pemusnah besar-besaran dilabel dengan sifat demikian oleh Amerika Syarikat.

Abdullah juga mengkritik keputusan yang dibuat awal-awal lagi oleh banyak negara penting untuk tidak mengiktiraf kerajaan Hamas di Palestin yang membawa kepada sekatan dana dan bantuan, mengakibatkan rakyat Palestin tidak mendapat gaji dan makanan buat beberapa bulan.

"Tentu sekali ia tidak rasional dan mengamalkan dua standard berbeza untuk mengarah atau menunjukkan minat hanya terhadap siapa seharusnya dipilih berkuasa di pelbagai negara," katanya.

Beliau berharap semua sekatan terhadap Palestin segera ditarik balik bila Presiden Mahmoud Abbas berjaya dalam usaha membentuk sebuah kerajaan campuran yang menggabungkan semua pihak di Palestin.

Ucapan Abdullah turut menyentuh isu kemanusiaan seperti keperluan menghapus ketidakadilan sosial dan ekonomi, khususnya kemiskinan dan penyakit.

"Malaysia penuh yakin bahawa kunci kepada kemakmuran, penyertaan dan keadilan ialah pertumbuhan ekonomi yang mampan berasaskan pembinaan keupayaan nasional, khususnya pembangunan modal insan," katanya.

Abdullah seterusanya menegaskan bahawa memandangkan kekuatan ekonomi negara-negara maju, adalah penting mereka menunjukkan fleksibiliti dan muhibah di peringkat kritikal kini dalam rundingan perdagangan dunia.

"Malaysia akan terus menyokong rundingan perdagangan multilateral. Pendekatan Malaysia, bagaimanapun, terletak pada pemahaman wujudnya liberalisasi progresif," tambah beliau.