Ahli Parlimen diingatkan jangan guna perkataan tidak senonoh
Ahli Dewan Rakyat hari ini diingatkan supaya tidak mengeluarkan perkataan yang tidak senonoh yang boleh menghina seseorang dan Dewan Rakyat.
Ahli Dewan Rakyat hari ini diingatkan supaya tidak mengeluarkan perkataan yang tidak senonoh yang boleh menghina seseorang dan Dewan Rakyat.
Ketika mengingatkan demikian, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Lim Si Cheng berkata ahli Parlimen yang melanggar peraturan dewan itu akan dikenakan tindakan serta-merta.
Beliau berkata demikian apabila Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Timbalannya Datuk M. Kayveas menarik balik perkataan yang dianggap menghina semasa sesi perbahasan baru-baru ini.
Menurut laporan Bernama, Karpal berkata perkataan kurang sesuai yang ditujukan kepadanya itu dianggap menghina dirinya serta orang kurang upaya (OKU) yang lain.
"Untuk kepentingan rakyat yang lain, bolehkan menteri (di Jabatan Perdana Menteri) atau wakilnya di dalam dewan ini menarik balik apa yang dikatakannya," katanya ketika sesi soal jawab dan menyebabkan sidang tertangguh kira-kira 10 minit sebelum diteruskan dengan penggulungan Bajet 2007 oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Guna usul
Lim kemudian menjawab: "Saya memang bersetuju supaya perkataan tidak elok tidak digunakan semasa kita melibatkan diri dalam perbahasan, akan tetapi perkara ini telah berlaku dan usul juga tidak dikemukakan oleh Yang Berhormat (Karpal) semasa kejadian, menteri pun tidak hadir.
"Maka saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Bukit Gelugor jika tidak puas hati bolehlah mengambil tindakan dengan menggunakan usul tertentu yang diberikan kuasa kepada dewan mengikut peraturan mesyuarat," katanya.
Jawapan Lim itu menimbulkan kekecohan apabila pihak pembangkang mendesak supaya menteri berkenaan diberi peluang untuk menarik balik kata-kata itu.
Anggota penyokong kerajaan pula menegaskan bahawa pihak pembangkang juga ada mengeluarkan perkataan tidak senonoh semasa perbahasan.
Keadaan kemudiannya diredakan Lim dengan berkata: "Perkara yang sudah lepas, biarkanlah ia lepas, kedua pihak (pembangkang dan penyokong kerajaan) juga pernah keluarkan perkataan sebegitu."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.