Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: DAP dulu ekstrem, sekarang tak semua begitu

WAWANCARA | DAP dahulu memang pernah menjadi parti ekstrem dengan tuntutan yang terlalu berkiblatkan orang Cina, tetapi kini, kata Dr Mahathir Mohamad, tidak semua ahlinya bersikap sebegitu lagi.

Bercakap dalam wawancara bersama Malaysiakini pada Rabu, bekas perdana menteri itu menekankan bahawa ada sebahagian ahli DAP masih “sangat ekstrem”, sehingga tidak mahu bertolak ansur dan menyesuaikan diri dengan orang lain.

“Seperti biasa, dalam parti politik, ada yang ekstrem, ada yang moderat. Jadi ada di kalangan orang DAP ni, macam Ramasamy, Ronnie Liu apa semua, sangat ekstrem. Tak mahu accommodate (bertolak ansur, menyesuaikan diri) langsung.

“Lepas tu (ada yang) kata pula, kita baik dengan orang Melayu nak guna untuk kepentingan mereka, bila dah dapat, kita boleh ketepikan dia orang.

“Dalam ucapan dia buat dalam bahasa Cina. Jadi kita tak faham bahasa Cina, tapi ada orang yang faham. Orang bagitahulah apa yang dia kata. Jadi, (itu) ekstrem.

“Yang tak ekstrem, tak ekstremlah,” kata Mahathir.

Dia merujuk kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu.

Ucapan yang dimaksudkan Mahathir itu pula dipercayai merujuk kepada ucapan bekas ahli DAP Hew Kuan Yau, yang pada 2016 menggesa pengundi Cina di Sarawak untuk menyokong calon Melayu DAP supaya calon itu boleh “merosakkan orang Melayu”.

Pejabat Mahathir meminta wawancara diadakan bagi menjelaskan berkenaan kenyataannya, apabila pengerusi penaja Pejuang itu baru-baru ini menggambarkan DAP sebagai "ada kalanya ekstrem".

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita tentang sama ada Umno boleh bekerjasama dengan DAP. Kedua-dua parti itu merupakan seterus sejak berpuluh tahun lamanya.

"Saya telah bekerjasama dengan DAP dan parti itu ada kala ekstrem tapi kita boleh bersama-sama dengan mereka,” Mahathir dipetik sebagai berkata.

Kenyataannya itu mengguris hati pemimpin DAP termasuklah setiausaha agungnya Lim Guan Eng yang menyifatkan kenyataan Mahathir terhadap DAP itu sebagai "salah, tidak berasas dan mengelirukan."

DAP dah berubah

Menurut Mahathir, DAP sebelum ini pernah membuat kenyataan-kenyataan yang mengguris hati orang Melayu.

Menurutnya, ini termasuklah apabila parti itu menentang dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu orang Melayu, contohnya Dasar Ekonomi Baru dan hak keistimewaan terhadap orang Melayu dan Bumiputera.

“Kita nak samakan kedudukan orang di Malaysia ni, iaitu kita dapati sekarang ini, ada bangsa yang kaya, ada yang miskin.

“Jadi kita dapati orang Melayu rata-rata miskin. Yang orang Cina pun ada miskin, tapi orang Melayu tak ada kebolehan untuk nak maju. Jadi kita buat DEB.

“Mereka kecam DEB, seolah-olah nak kekalkan orang Melayu miskin, kerana mereka nak gunakan merit untuk bantuan. Jadi, penuntut Melayu tak boleh dapat biasiswa (kalau) ikut apa yang mereka nak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, parti itu sudah berubah menjadi lebih moderat dan terbuka terhadap orang Melayu.

Pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Guan Eng juga, kata Mahathir, sudah berubah berbanding dulu.

“Ya, mereka nampak berubahlah. Dulu ekstrem. Dulu masa dulu, saya tahu semasa saya jadi perdana menteri (keempat), mereka agak ekstrem.

“Tetapi sekarang ini DAP sedar bahawa tanpa sokongan orang Melayu, mereka tak boleh menang. Jadi mereka buka DAP kepada orang Melayu. Orang India memang ada lah.

“Dan Melayu pun ada. Dan kita dapati, dengan kerana itu, nampak dia moderat sikit,” katanya lagi.

Mahathir memberikan contoh bagaimana kerjasamanya dengan DAP dan PKR pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, yang menyaksikan kejayaan mereka mendapatkan sokongan undi orang Melayu. 

Lihat Komen
ADS