Msia kurang akta mencegah penyeludupan manusia, kata KPN
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menegaskan bahawa kekurangan undang-undang untuk mencegah penyeludupan manusia telah menimbulkan masalah yang berkaitan dengan pelacuran.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menegaskan bahawa kekurangan undang-undang untuk mencegah penyeludupan manusia telah menimbulkan masalah yang berkaitan dengan pelacuran.
"Kita perlu ada perundangan yang lengkap untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab...serta sistem sokongan bagi membawa mangsa kembali ke pangkuan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas berucap di persidangan mencegah penyeludupan manusia, anjuran Tenaganita.
Musa berkata, pada masa ini, pihak polis hanya bergantung kepada Seksyen 372 dan 373 serta Ordinan Darurat 1969 untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit melakukan kesalahan tersebut.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Musa berkata, antara tahun 2003 hingga Jun 2006, seramai 163 bapa ayam telah didakwa mengikut dua seksyen dalam Kanun Keseksaan itu manakala 126 lagi dikenakan perintah Kediaman Terhad 1933.
Seramai 18 orang lagi ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969, manakala sindiket pelacuran turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Musa juga mendedahkan seramai 365 rakyat asing telah diselamatkan polis daripada sindiket pelacuran dengan kerjasama kedutaan mereka dan badan bukan kerajaan (NGO) antara 2004 hingga Jun 2006.
Tahanan pencegahan
Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez turut menyentuh mengenai kekurangan akta yang sama sambil menegaskan bahawa penggunaan akta-akta pencegahan terhadap anggota sindiket pelacuran tidak berkesan kerana mereka hanya merupakan anggota biasa sahaja.
Sambil menyifatkan Ordinan Darurat sebagai sudah ketinggalan zaman, Irene berkata, mangsa penyeludupan yang dipaksa menjadi pelacur adalah mangsa dan mereka tidak harus dianggap sebagai penjenayah.
Sebagai contoh, Irene berkata pada 2005, seramai 4,600 wanita rakyat asing ditahan kerana terbabit dalam pelacuran dan ramai daripada mereka didakwa di bawah akta imigresen walaupun mereka merupakan mangsa sindiket jenayah.
Beliau turut menyentuh tentang ketiadaan program perlindungan saksi untuk menggalakkan mangsa pelacuran memberi keterangan terhadap sindiket terbabit, di samping tidak ada pendakwaan dibuat terhadap pegawai yang terbabit dalam rasuah dalam kes tersebut.
Irene berkata, sudah menjadi rahsia umum bahawa elemen utama yang mendorong industri pelacuran itu berterusan adalah perbuatan rasuah dan pembabitan pegawai penguatkuasa dalam kegiatan tersebut.
Ini merupakan persidangan kali kedua anjuran Tenaganita untuk merangka strategi nasional bagi mencegah penyeludupan manusia. Ia diadakan dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Pencegah Jenayah Malaysia. Berita asal

