Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohamad Nor mengajak para pelajar Asia Tenggara bergabung tenaga bagi menjadikan rantau itu lebih demokratik dan progresif.

Ezam berkata, kumpulan pelajar perlu membina semula jaringan dengan kerajaan dan organisasi bukan kerajaan bagi mengukuhkan kerjasama dan pertukaran idea.

"Ini amat penting terutamanya ketika kita berdepan dengan rejim yang rasuah dan menindas demokrasi di negara-negara Asia Tenggara," katanya.

Ezam berkata, jaringan atau forum serantau pernah dipelopori oleh bekas Presiden Indonesia BJ Habibie dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian di forum anjuran Ikatan Cendiakiawan Muslim Indonesia (ICMI) bersama pelajar Asia Tenggara di Universiti Al Azhar, Mesir.

Forum bertajuk 'Masa Depan Rantau Asia Tenggara' itu dipengerusikan oleh Pengerusi ICMI Arifin MA dan dihadiri pelajar dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei yang menuntut di Mesir.

Selesai masalah bersama

Ezam berkata, hubungan akrab yang lebih mendalam dan bukan hanya atas kepentingan perniagaan semata-mata, akan memudahkan negara Asia Tenggara menyelesaikan masalah bersama.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab, beliau ditanya mengenai penglibatan beliau dalam politik khususnya sebagai Ketua Angkatan Muda PKR.

Ezam menjelaskan beliau akan memberi laluan kepada anak muda di bawah umur 40 tahun untuk mengetuai Angkatan Muda Disember depan, sesuai dengan pindaan perlembagaan dalam kongres parti itu baru-baru ini.

"Ini merupakan satu langkah progresif untuk menjadikan organisasai muda dipimpin oleh orang muda. Sementara saya akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha membina masyarakat demokratik dan anti-korupsi," kata nya.

Dalam kunjungannya ke Mesir itu, Ezam turut mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di sana serta menemui pemimpin pertubuhan-pertubuhan belia Islam Mesir dan anggota Parti Keadilan Sejahtera (Indonesia) cawangan Mesir.