Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak fikir rampasan kuasa oleh tentera di Thailand akan membawa kepada berulangnya krisis kewangan Asia 1997, tetapi Malaysia akan mengambil mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Yang pasti, kita perlu berjaga-jaga dan membuat semua persediaan yang perlu, sekiranya keadaan menjadi sebaliknya dan boleh menjejaskan kita dengan teruk. Kita perlu bersedia untuk menghadapi (kemungkinan) itu, tetapi saya harap (perkara sebegini) tidak (berlaku)," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri menyatakan demikian dalam sidang media terakhirnya di New York sebelum berlepas ke London selepas menghadiri sesi ke-61 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Beberapa pasaran Asia dilaporkan mengalami kemerosotan berikutan rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah bagi menggulingkan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra ketika beliau berada di New York bagi menghadiri perhimpunan tahunan PBB.

Menurut laporan Bernama, pemerintah tentera Thailand yang baru Jeneral Sondhi Boonyaratkalin berjanji akan melepaskan kuasa dalam dua minggu dan memulihkan demokrasi dalam masa setahun.

Abdullah berkata sama ada akan wujud kestabilan di Thailand akan bergantung kepada pihak yang berkuasa sekarang.

Mengulangi gesaan beliau bagi demokrasi dipulihkan di negara jiran Thailand, beliau berkata, persoalan mengenai pengiktirafan terhadap mereka yang berkuasa sekarang akan dibawa ke perhatian Kabinet.

Dapatkan maklumbalas

"Dalam hubungan ini, kita akan mendapatkan maklumbalas daripada rakan-rakan dalam Asean. Sudah tentu, Asean mahu memastikan pendiriannya berhubung isu ini," katanya.

Mengenai perbincangan beliau dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Abdullah berkata ia bertumpu kepada usaha untuk menubuhkan kerajaan perpaduan kebangsaan dengan pentadbiran Hamas.

"Saya menyatakan sokongan kita bagi inisiatif itu dan berharap mereka yang terlibat akan mencuba sedaya upaya untuk mencapai objektif itu," katanya.

Abdullah berkata, hanya 22 peratus tanah asal penduduk Palestin yang masih tinggal kerana Israel telah mengambil pelbagai langkah untuk mengecilkan lagi saiznya.

Mengenai perbincangan beliau dengan presiden sesi ke-61 Perhimpunan Agung PBB, Haya Rashed Al-Khalifa dari Bahrain, Perdana Menteri berkata, pelantikan seorang wanita Islam buat pertamakalinya untuk menerajui perhimpunan itu merupakan sesuatu yang membanggakan dan memuaskan hati orang Ialam.

"Beliau terpaksa mengendalikan pelbagai isu tetapi Malaysia akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada beliau," katanya.