Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjelaskan bahawa parti itu melancarkan siaran televisyen internet tvPAS untuk mengatasi kongkongan media kerajaan ke atas parti pembangkang itu.

Di samping itu, katanya, media milik kerajaan juga tidak memberi ruang yang positif kepada PAS dan parti pembangkang lain.

Husam yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan mengambil contoh majlis pelancaran Dinar Emas oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Kota Bharu baru-baru ini.

"Akhbar Utusan Malaysia enggan menerima jemputan kerajaan negeri. Hanya akhbar Berita Harian dan akhbar Harian Sinar sahaja yang datang membuat liputan," katanya ketika berucap di majlis pelancaran tvPAS di markas PAS di Taman Melewar ibu negara malam tadi.

Majlis pelancarannya dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kira-kira jam 11 malam. Hadir sama ialah Ketua Penerangan PAS, Ahmad Awang dan kira-kira 200 penyokong parti itu.

Katanya, fokus utama tvPAS ialah laporan politik dan kehidupan, sosial dan ekonomi termasuk wawancara dengan pemimpin utama PAS dan kemelaratan orang Melayu di Pulau Pinang.

Husam berkata, ahli dan penyokong PAS di seluruh negara perlu membantu tvPAS dengan memberi sumbangan kewangan dan membuat iklan sebagai sumber kewangan untuk siaran itu.

Maklumat yang betul

"Jika kita (ahli PAS) merasa bangga dengan parti (PAS), kita juga harus merasa bangga dengan tvPAS," katanya lagi.

TvPAS, juga katanya tidak akan menyiarkan berita yang tidak benar.

Sementara itu Abdul Hadi dalam ucapannya, beliau mahu maklumat yang diberikan kepada rakyat adalah betul dan membina.

Katanya, PAS pernah memohon stesen televisyen untuk negeri Kelantan dan Terengganu tetapi tidak diluluskan, sedangkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh diikuti di setiap rumah.

"Ceramah PAS dihadkan penyokongnya yang hadir. Dari segi kebebasan ini, negara kita lebih mundur dari negara dunia ketiga," katanya.

PAS, kata Abdul Hadi mahu memberi maklumat yang betul kepada rakyat supaya mereka dapat memilih kerajaan yang baik serta adil dan menolak pemerintah yang rasuah.

Beliau berkata, wawasan kerajaan Islam bukan wawasan 2020 tetapi wawasan untuk kehidupan dunia dan akhirat.