Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Katil hospital, PKRC di Kelantan hampir penuh

Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di enam pusat kuarantin dan rawatan (PKRC) di Kelantan hampir penuh selepas peningkatan mendadak kes kebelakangan ini.

Di lima PKRC sedia ada, kadar penggunaan katil adalah antara 79 hingga 103 peratus manakala sebuah PKRC yang baru dibuka beberapa hari lalu sudah merekodkan kadar penggunaan katil sebanyak 33 peratus.

Kadar itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

"Katil di hospital yang menempatkan pesakit Covid-19 juga hampir penuh," katanya lagi.

Sehubungan itu Zaini berkata pihaknya bercadang membuka satu lagi PKRC dalam masa terdekat iaitu di Dewan Jabatan Belia di Panji, Kota Bharu.

"Jika kes semakin meningkat, terdapat pesakit yang terpaksa dikuarantin di rumah.

"Selain itu bagi mengurangkan sampel yang tertunggak, kita juga mendapat bantuan dari makmal di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan makmal Kesihatan Awan Ipoh, Perak," katanya lagi.

Semalam Kelantan mencatatkan kes baru tertinggi sebanyak 332 kes dan dua kematian.

Secara keseluruhan, sebanyak 8,448 kes positif dilaporkan di negeri itu sejak wabak Covid-19 mula menular.

Sementara itu Zaini berkata, Kelantan terus mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RT) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.43 setakat semalam berbanding RT nasional 1.16.

Jelasnya, jangkitan dalam kluster dilaporkan berlaku di tempat kerja atau sekolah dan masjid semasa kelas pengajian dan mesyuarat.

"Selain itu, majlis keramaian seperti kenduri, penjara dan komuniti (turut menjadi punca). Sebanyak 23 peratus kes dikesan melalui saringan bergejala dan tidak bergejala serta dari zon merah yang tiada kaitan epidemiologi.

"Jumlah peratusan itu menunjukkan jangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya.

Lihat Komen
ADS