Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keputusan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), sebuah parti mesra BN yang telah mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan MIC, tidak menjejaskan perjuangan parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Menerangan MIC, V Gunalan berkata bahawa MIC tidak menghadapi sebarang masalah jika IPF mengambil keputusan tidak menyokong MIC, yang merupakan parti komponen gabungan BN.

"Tidak sokong, tiada masalah. IPF bukan pun parti yang mempunyai kekuatan sendiri.

"Isunya, cuma pimpinan tertinggi parti itu cuba tolak kerjasama dengan MIC. Tetapi, akar umbi parti masih mempunyai hubungan rapat dengan MIC.

"Maka, kami tidak risau sangat dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan yang jelas tidak mempunyai sokongan akar umbi. Parti itu sendiri berpecah kepada tiga atau empat kem," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika mengulas pengumuman IPF sebelum ini yang  enggan bekerjasama dengan MIC, selepas tindakan Presidennya SA Vigneswaran melabel beberapa parti mesra BN sebagai "pengkhianat".

Ketika Perhimpunan Agung Tahunan MIC kali ke-74 awal bulan ini, Vigneswaran dalam ucapannya mendakwa partinya telah dikhianati beberapa parti mesra BN dalam PRU lalu.

Vigneswaran turut mempersoalkan pendirian Umno yang masih mengekalkan kerjasama dengan beberapa parti mesra BN yang didakwanya memboikot calon MIC pada PRU lalu.

Susulan itu, Presiden IPF, T Loganathan berkata bahawa majlis tertinggi parti itu mengambil pendirian untuk menolak kerjasama dengan MIC, namun kekal menyokong dua lagi parti komponen BN, iaitu Umno dan MCA.

Gunalan sementara itu memberitahu bahawa IPF sepatutnya memberi perhatian isu domestik parti itu sebelum berniat menjadi anggota dalam BN.

"Ada ura-ura parti itu masih mempunyai banyak isu dengan RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Nama presiden pun belum ditukar.

"Harap, mereka dapat selesai isu dengan RoS sebelum mohon menjadi komponen dalam BN," katanya.

Untuk rekod, IPF dianggap sebagai parti mesra BN, selepas MIC membantah kemasukan mereka sebagai komponen BN.

Pada masa ini, gabungan BN mempunyai empat komponen termasuk Umno, MCA, MIC dan PBRS.

Lihat Komen
ADS