Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM siasat isu kematian kakitangan dikaitkan vaksin
Diterbitkan:  Apr 21, 2021 6:27 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat isu kematian beberapa orang kakitangan kementerian itu yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 di media sosial.

"Pihak KKM sedang menyiasat akan perkara ini dan makluman akan diberikan kepada umum selepas siasatan selesai," kata kementerian itu dalam kenyataan.

Spekulasi itu muncul selepas Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah minggu lalu memaklumkan seramai 40 kakitangan kesihatan dijangkiti Covid-19, setelah menerima dua dos suntikan vaksin.

Dia berkata seramai 142 petugas kesihatan lain juga dijangkiti setelah mendapat satu dos suntikan vaksin.

Namun, katanya semua kakitangan yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala yang teruk.

Sehubungan itu, pihak KKM meminta agar orang ramai tidak berkongsi atau menyebarkan maklumat yang tidak dikenalpasti sumber dan kebenarannya.

"Sebarang penyebaran atau perkongsian akan menimbulkan kekeliruan orang ramai. Orang ramai diminta untuk merujuk kepada maklumat sah yang boleh didapati di semua platform rasmi media sosial KKM atau berhubung terus dengan Crisis & Preparedness Response Center (CPRC) di setiap negeri," jelas KKM.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari di laman sesawang http://covid-19.moh.gov.my/ atau di talian 03-88810200/ 03-88810600/ 03-88810700 bagi mendapatkan info sahih berkenaan vaksin.

Lihat Komen
ADS