Umno menuduh PAS bersikap hipokrit berhubung kenyataannya mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ada pihak yang cuba mengelirukan isu kegagalan Dr Mahathir dalam pemilihan perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti dengan melemparkan pelbagai tuduhan negatif," katanya Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Sebaliknya, kata beliau, Umno berpendapat Dr Mahathir mempunyai peranan yang lebih besar daripada sekadar menjadi seorang perwakilan disebabkan pengalaman beliau.

Menurut laporan Bernama, beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang kelmarin, kononnya Dr Mahathir dimalukan dengan cara tidak bersopan.

Presiden PAS itu dilaporkan berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak patut berdendam dengan Dr Mahathir hingga mengorbankan kepentingan rakyat.

Katanya, jangan kerana marah dan dendam, projek-projek yang dirancang dan dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri itu dianggap membazir dan dibatalkan termasuk projek jambatan bengkok,

Bagaimanapun, Muhd Taib berkata, tuduhan PAS terhadap Umno itu satu hipokrasi kerana parti itulah yang banyak "melanyak dan memalukan" Dr Mahathir dengan kritikan ke atas apa saja pembangunan yang dilaksanakan oleh beliau.

Sebelum ini, Parti Islam itu pernah menyamakan tindakan mengundi untuk Dr Mahathir dan Barisan Nasional sebagai menempah tiket ke neraka.

Nafi dakwaan PAS

Muhd Taib juga menafikan dakwaan PAS kononnya parti itu dan kepimpinannya sejak akhir-akhir ini bertindak untuk memalukan bekas presiden Umno itu.

Katanya, Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak pernah terbabit dalam sebarang tindakan yang membuka ruang untuk memalukan Dr Mahathir.

"Umno sejak dahulu membela bekas pemimpin negara. Pak Lah tidak pernah, dalam mana-mana mesyuarat parti memburuk-burukkan Dr Mahathir atau mana-mana bekas perdana menteri atau presiden Umno yang lepas," katanya.

Dr Mahathir gagal terpilih sebagai perwakilan bahagian Umno Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno November ini.

Beliau memperolehi 227 undi di tempat kesembilan daripad 15 calon yang bertanding dalam mesyuarat perwakilan bahagian tersebut pada 9 September lalu.

Setiap Umno bahagian menghantar 13 perwakilan ke perhimpunan agung Umno tujuh dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian manakala enam lagi terdiri daripada pemegang jawatan utama di peringkat bahagian.

Dr Mahathir juga mendakwa proses pemilihan perwakilan bahagian berkenaan telah dicemari dengan politik wang dan menjadi punca kekalahannya. Bagaimanapun, pucuk pemimpin Umno menafikan tuduhan tersebu.

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Aziz Shamsuddin juga turut menyuarakan kehairanan dan kekecewaan mereka terhadap kegagalan Dr Mahathir itu.