Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Agong berkenan terima menghadap Jawatankuasa Tamat Darurat
Diterbitkan:  Apr 22, 2021 1:24 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenankan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat untuk menghadap baginda.

Menurut sumber yang rapat dengan jawatankuasa itu, sepucuk surat dari Istana Negara telah dikirim pagi ini kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang merupakan jurucakap jawatankuasa berkenaan.

Surat bertarikh hari ini tersebut menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong telah berkenaan untuk menghadap dengan jawatankuasa tersebut agar mereka dapat menyerahkan memorandum.

Majlis menghadap itu akan diadakan pada tarikh dan waktu yang akan ditentukan kemudian.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid memanjatkan rasa terima kasih atas keprihatinan Agong dan kesudian baginda bertemu dengan jawatankuasa berkenaan.

“Walaupun tarikh untuk menghadap belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan tersebut.

"Kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari.

“[...] Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Darurat, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan Yang di-Pertuan Agong. Patik-patik semua menjunjung kasih di atas kesediaan Yang di-Pertuan Agong bertemu kami,” katanya.

Selasa lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu serta Khalid hadir ke Istana Negara bagi membuat permohonan itu.

Ia bagi memohon Seri Paduka menamatkan darurat yang dinasihatkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pada kadar segera.

Lihat Komen
ADS