Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua pengisytiharan darurat ada udang di sebalik batu - pakar ekonomi

Di sebalik hampir semua darurat yang pernah diisytiharkan di negara ini termasuk yang sedang berkuat kuasa, tersembunyi ‘udang di sebalik batu’ bagi mencapai kepentingan tertentu pihak berkuasa, kata pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram.

Mengulas mengenai lima pelaksanaan darurat sebelum ini, kata Jomo, faktor utama pelaksanannya bukan didorong oleh keperluan, tetapi kepentingan-kepentingan tertentu pihak berkuasa.

Darurat pada tahun 1948 kerana pemberontakan komunis, kata Jomo, dilakukan oleh British untuk mengekalkan Malaya sebagai tanah jajahan penting di rantau ini pada waktu berkenaan, manakala darurat 1964 kerana konfrontasi dengan Indonesia pula dilaksanakan British untuk menjaga kepentingannya tanah jajahannya yang telah terangkum dalam Malaysia.

Darurat pada 1966 di Sarawak pula, kata Jomo, dilakukan bagi menyingkirkan Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri.

Darurat 1969 akibat rusuhan kaum pula kata Jomo dilakukan oleh kerajaan antaranya kerana parti Perikatan tidak mendapat majoriti undi dalam pilihan raya umum ketiga tahun itu, namun “dengan cara tersendiri”, dapat berkuasa di banyak negeri dan di peringkat nasional.

Darurat pada tahun 1978 kerana rusuhan di Kelantan pula kata Jomo, adalah dilakukan agar BN dapat menguasai kerajaan negeri Kelantan pada ketika itu.

“Jadi apa yang jelas, kita dapat lihat semua pengisytiharan darurat, adalah terdapat udang di sebalik batu.

“Ada niat tertentu pihak yang berkuasa untuk mengisytiharkan darurat. Bukan apa yang diperlukan, tetapi ada kepentingan-kepentingan tertentu,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang media ‘Darurat dan Mudarat Ekonomi’ yang dianjurkan Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat di Hotel Tamu, Kuala Lumpur hari ini.

Selain Jomo, sidang media disertai dua lagi pakar ekonomi iaitu Nungsari Ahmad Radhi dan Muhammed Abdul Khalid, dan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang juga pengerusi jawatakuasa berkenaan.

Menilai situasi Covid-19 yang sedang melanda negara dan tindakan kerajaan bagi menanganinya seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat, kata Jomo, tindakan-tindakan demikianlah yang sebenarnya lebih memudaratkan ekonomi berbanding kesan langsung Covid-19 itu sendiri.

“Kalau kita lihat apa sedang berlaku sekarang, kita dapati bahawa tidak boleh dinafikan wabak Covid-19 bermula pada awal tahun 2020.

“Kita dapati bahawa kesan langsung daripada segi ekonomi wabak itu bukan seberapa. Tetapi kesan tidak langsung, iaitu akibat daripada langkah-langkah dikenakan oleh pihak kerajaan itulah yang memudaratkan ekonomi,” katanya.

Selain darurat, Jomo turut mengkritik pelaksanaan PKP yang baginya, selain bukan pendekatan terbaik bagi menangani Covid-19, turut mempunyai kesan yang buruk terhadap ekonomi.

Untuk rekod, selain enam darurat disebut Jomo (termasuk darurat kini), ada lagi beberapa darurat dalam sejarah Malaysia, iaitu darurat jerebu pada tahun 1997, 2005 dan 2013 di wilayah tertentu, serta darurat Parlimen Batu Sapi pada 2020 yang membatalkan pilihan raya kecil dilakukan di situ dalam wabak Covid-19.

Pelaksanaan darurat terbaru berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos ini, diwartawakan setelah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda akan keperluan pelaksanannya bagi membendung penularan Covid-19.

Ia sekaligus menyebabkan sidang Parlimen tergantung.

Gara-gara itu, Muhyididn berdepan kritikan hebat daripada kerajaan serta sekutu kerajaan seperti Umno yang menggesanya agar menasihat Agong untuk membuka kembali Parlimen bagi memberi ruang ahli Dewan Rakyat bersidang.

Lebih-lebih lagi setelah Yang di-Pertuan Agong pada Feb bertitah bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda, atas nasihat perdana menteri.

Sementara itu, Nungsari berkata, dengan mengisytiharkan darurat, kerajaan sendiri sebenarnya menidakkan kemampuan negara untuk berfungsi seperti biasa, dan hal itu telah mengurangkan keyakinan pelabur, terutamanya keyakinan pelabur tempatan.

Sedangkan katanya, aspek paling penting untuk memacu ekonomi adalah aspek keyakinan.

“Pengisytiharan darurat itu sendiri menidakkan bahawa kita boleh berfungsi seperti biasa.

“Dengan kita mengisytiharkan darurat, kita sendiri mengatakan bahawa proses biasa kita untuk menjalankan dasar, undang-undang dan sebagainya adalah tidak betul (memadai), sebab itu kita isytiharkan darurat.

“Ironinya, pengiystiharan itu sendiri telah kurangkan keyakinan secara dengan paling ketara sekali,” katanya.

Oleh hal yang demikian, dia menyokong agar negara kembali kepada sistem pentadbiran yang berasaskan perlembagaan secara sepenuhnya, dengan menarik balik darurat agar parlimen boleh kembali bersidang. 

Lihat Komen
ADS