Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan tangguh keputusan kes rasuah Tengku Adnan

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan rayuan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Panel tiga hakim yang dianggotai oleh Suraya Othman, Abu Bakar Jais, dan Ahmad Nasfy memberitahu peguam Tengku Adnan, Tan Hock Chuan dan timbalan pendakwa raya Asmah Musa bahawa mereka akan memberitahu kedua-dua pihak mengenai tarikh keputusan tersebut.

"Kami akan segera memberitahu mengenai tarikh keputusan," kata Suraya.

Sebelum itu, mahkamah mendengar penghujahan dari kedua-dua pihak mengenai rayuan tersebut.

Tengku Adnan, 70, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, memfailkan notis rayuan pada 21 Dis tahun lalu terhadap sabitan dan hukuman setelah Hakim Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta terhadapnya selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan ahli parlimen Putrajaya itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan diputuskan.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Chai Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lihat Komen
ADS