Dr M: Nama UPM ditukar atas kehendak Naib Canselor
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pertukaran nama Universiti Pertanian Malaysia kepada nama Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan dibuat atas kehendaknya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pertukaran nama Universiti Pertanian Malaysia kepada nama Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan dibuat atas kehendaknya.
"Pertukaran itu dibuat atas permintaan tenaga pengajar UPM sendiri, terutama Naib Canselornya. Mereka tidak mahu UPM tertumpu pada bidang pertanian sahaja, mereka mahu mempelbagaikan jurusan pengajian termasuk bidang kejuruteraan.
"Sebenarnya bagi saya tidak perlu UPM menawarkan kursus-kursus lain kerana kursus-kursus berkenaan sudah ada di universiti-universiti lain. Kalau boleh lebih baik UPM mengkhusus pada pertanian," jelasnya dalam sesi soal jawab selepas memberikan ceramah mengenai "Universiti Dalam Wawasan 2020" di Universiti Multimedia, di Cyberjaya hari ini.
Seorang hadirin telah bertanya tentang penukaran nama UPM setelah mendengar ucapan bekas Perdana Menteri itu, yang antara lain, menggesa universiti tempatan mengkhusus dalam bidang tertentu hingga mampu meraih hadiah Nobel bagi kerja-kerja penyelidikan dalam bidang pengkhususan masingmasing.
Di dalam ucapannya itu, Dr Mahathir mahu universiti tempatan meningkatkan penyelidikan dalam bidang pengkhususan masing-masing untuk menjadi institusi kelas dunia hingga meraih pengiktirafan antarabangsa menjelang tahun 2020 nanti.
Bekas Perdana Menteri itu berkata universiti mestilah menjalankan lebih banyak penyelidikan saintifik untuk kebaikan dan merevolusikan cara kehidupan manusia.
"Universiti tidak lagi dapat memfokuskan mengenai bidang am, tetapi perlu cemerlang dalam bidang pengkhususannya supaya ia boleh menjadi pusat penyelidikan dan rujukan untuk bidang tertentu dunia," katanya.
Pusat kecemerlangan
Universiti mestilah menukar mindanya daripada hanya mengeluarkan graduan tetapi menjadi pusat kecemerlangan untuk bidang pengkhususannya, tambahnya.
"Universiti dalam 2020 mestilah dimajukan selari dengan pembangunan negara," kata beliau.
Dengan pendekatan itu, Dr Mahathir berharap penerima hadiah Nobel yang pertama di negara ini dapat dikeluarkan menjelang 2020.
Semasa bercakap kepada pemberita, beliau berkata lebih banyak usaha perlu dibuat oleh Vatican bagi memulihkan hubungannya dengan dunia Islam berikutan kenyataan Pope Benedict XVI yang menghina masyarakat Islam minggu lepas.
Katanya, dunia Islam boleh bertindak terhadap komen itu tetapi tidaklah sampai membakar kedutaan.
Dr Mahathir diminta mengulas reaksi seluruh dunia terhadap kenyataan Pope yang memetik satu teks abad pertengahan yang memaparkan sesetengah ajaran Nabi Muhammad sebagai "syaitan dan tidak berperikemanusiaan" khasnya berkaitan dengan penyebaran Islam dengan mata pedang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.