Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan mahu Zahid dikenakan tindakan disiplin
Diterbitkan:  Apr 25, 2021 12:05 AM
Dikemaskini: Apr 25, 2021 1:45 AM

Susulan pemecatannya daripada jawatan pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim menggesa Umno mengambil tindakan disiplin terhadap presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi kerana menyokong ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media yang diadakan malam ini, Shahidan menegaskan bahawa mereka yang melanggar pendirian Umno iaitu "No Anwar, No DAP, No PKR perlu berdepan tindakan.

"Jawatankuasa disipilin tak boleh diam diri untuk ambil tindakan kepada mereka yang melanggar keputusan parti. Contohnya ialah no Anwar, no DAP, no PKR.

"Kita dapati ada satu surat yang telah ditulis oleh presiden kepada Agong dan disaksikan oleh Datuk Seri Najib Razak dan surat itu semua kita diam kerana kita nak jaga hubungan harmoni politik

"Tapi hari ni saya timbulkan surat itu - ini ialah melanggar keputusan parti," katanya.

Menurut Shahidan, isu kedua adalah berhubung rakaman audio yang didakwa perbualan telefon antara Zahid dan Anwar sejurus selepas perhimpunan agung Umno.

Kedua-dua ahli politik itu menafikan terlibat dalam klip audio berkenaan.

"Jadi saya rasa dalam audio berkenaan menunjukkan ada perancangan menyokong Anwar.

"Jadi jawatankuasa disiplin kena ambil tindakan pada audio tersebut," katanya.

Shahidan gesa pemilihan Umno Jun ini

Dalam sidang media berkenaan, Shahidan berkata dia memiliki banyak maklumat dan memberi bayangan bahawa terdapat usaha untuk mengumpulkan tandangan kepada Anwar di parlimen tetapi gagal.

"Itu saya ingat kita cakap lepas raya, sebab bulan puasa tak bagus.

"Sebenarnya saya mengetahui banyak benda tapi semua saya simpan utk menjaga keharmonian parti," katanya.

Shahidan juga menggesa pemilihan parti diadakan pada bulan Jun, untuk menyelesaikan krisis kepemimpinan dalam Umno.

Mengenai penyingkirannya sebagai pengerusi perhubungan Umno Perlis, Shahidan berkata tindakan itu hak Zahid sebagai presiden parti dan dia akur dengan keputusan itu.

Langkah menggugurkan Shahidan dibuat Zahid menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijangka akan membincangkan beberapa isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Arau itu.

Shahidan sebelum ini hadit mesyuarat MT Umno sebagai ketua perhubungan negeri - kerana dia tidak terpilih ke dewan tersebut.

Dengan penyingkiran Shahidan, penggantinya Azlan Man akan menghadiri mesyuarat MT Umno esok.

Lihat Komen
ADS