Seorang bayi yang baru dilahirkan terpaksa tinggal dalam tahanan selama dua minggu apabila ibunya, seorang pelarian kaum Chin Burma ditahan ketika cuba mendapatkan sijil kelahiran untuk bayinya itu.

Bayi lelaki itu dibebaskan hari ini ekoran campurtangan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Datuk Ishak Mohamad.

Bayi tersebut dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Ogos, tetapi ibunya diberitahu supaya memohon sijil kelahiran dengan Jabatan Imigresen kerana dia seorang pendatang tanpa izin.

Bagaimanapun, ibunya seorang pekerja restoran berusia 23 tahun and anaknya ditahan apabila mereka pergi ke Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur pada 5 September lalu.

Selepas ditahan satu malam di lokap di sana, ibu dan anaknya itu dihantar kepada kem tahanan Semenyih.

Ketika ditemui hari ini, pengasas Jawatankuasa Pelarian Kaum Chin di Kuala Lumpur Victor Sang (kiri) berkata, warden di kem tersebut membenarkan wanita tersebut menjaga anaknya yang tidak sihat, sepanjang dia berada dalam tahanan.

Sang berkata, apabila beliau melawat mereka pada 11 September, wanita tersebut memberitahunya bahawa anaknya batuk kuat dan perlukan rawatan segera.

Campurtangan KP

Semalam, Sang memaklumkan perkara tersebut kepada Ishak sewaktu satu sidang akhbar di persidangan mengenai penyeludupan manusia di Kuala Lumpur.

Ishak (kanan), yang menjadi ahli penal di persidangan tersebut, terus mengeluarkan nota mengarahkan pengawainya supaya membebaskan ibu dan bayi tersebut.

Sang berkata, nota tersebut membantunya mendapatkan surat kebebasan dari ibu pejabat Imigresen di Putrajaya. Wanita dan anaknya itu dibebaskan pada jam 1 tengahari tadi.

"Bayi itu kelihatan baik. Kami membawa mereka ke pusat pelarian Chin dan mereka akan dibawa menemui doktor," tambahnya.

Walaupun bersyukur kedua beranak tersebut dibebaskan, Sang berkata, penahanan mereka selama 17 hari amat dikesali kerana Malaysia bersetuju mematuhi konvensyen antarabangsa yang telah disahkannya.

"Walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen PBB mengenai Pelarian, tetapi ia menandatangani Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak. Penahanan mereka bercanggah (dengan perjanjian tersebut)," katanya.

Pada masa ini, ibu dan bayi tersebut masih dianggap tiada bernegara, tetapi sedang dalam pertimbangan Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) untuk diberi status pelarian.

Dianggarkan terdapat lebih 4,600 pelarian kanak-kanak di Malaysia yang tidak layak mendapatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan kerana masalah status mereka. Berita asal