Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathair Mohamad berkata anak lelakinya Datuk Mukhriz terpaksa merayu kepada Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya kontrak pembekalan gentian optik daripada Telekom Malaysia (TM) yang diperolehi syarikat Opcom Sdn Bhd, milik anaknya itu, diteruskan.

Katanya, ini kerana selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri, arahan telah dikeluarkan untuk tidak melanjutkan kontrak tersebut, malah kontrak untuk syarikat anaknya itu dihapuskan sama sekali.

Berikutan itu, akhbar New Straits Times (NST) memetik Dr Mahathir sebagai berkata, anaknya terpaksa merayu kepada Khairy (kiri) yang merupakan menantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir.

Para pengkritik mendakwa Khairy mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri. Malah, sesetengah pihak menganggap graduan universiti Oxford itulah yang sebenarnya menentukan pentadbiran negara.

Menurut laporan NST lagi Dr Mahathir berkata, akhirnya nilai projek tersebut telah dikurangkan kepada 15 peratus sahaja.

Mukhriz adalah Pengerusi dan Pengarah Urusan Opcom Sdn. Bhd.

Menurut Dr Mahathir, projek bernilai RM214.2 juta juta itu dibatalkan selepas beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003.

Beliau memberitahu demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan tabung bangunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Kemaman semalam sebagai dakwaan bahawa Opcom memperolehi kontrak membekalkan gentian optik kepada TM tanpa melalui tender terbuka.

Laporan malaysiakini

Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa Dr Mahathir menolak menafikan dakwaan tersebut tetapi mengakui tender bernilai RM214.2 juta itu dibuat ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, permohonan tawaran itu dibuat menerusi saluran biasa iaitu tender dengan memenuhi semua syarat.

"Ya, anak saya itu telah lama terlibat dalam perniagaan (kontrak membekalkan gentian optik) dan dia dapat tawaran secara biasa dengan tender-tender dan sebagainya. Dan, kalau dia dapat atau tidak kontrak itu, itu urusan dialah dan bukan masalah saya.

"Tapi hakikat yang saya tahu setelah saya tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, maka arahan diberikan untuk tidak melanjutkan kontrak itu dan kontrak bagi syarikat tersebut dihapuskan sama sekali.

"Sehinggalah dia (Mukhriz) terpaksa merayu supaya bagilah dia sedikit (dilanjutkan kontrak). Dan, kemudian ada usaha nak bagi balik 30 peratus dan kemudian dikurangkan kepada 15 peratus dan ini berlaku,'' katanya.

Khamis lalu, malaysiakini melaporkan mengenai perkara tersebut berdasarkan surat perjanjian bertarikh 7 Oktober 2003 yang menggunakan kepala surat Kementerian Kewangan bertajuk: Perolehan Terus Pengilangan, Pembekalan dan Penghantaran Cable Fiber Optic Dari Opcom Sdn. Bhd. Di Bawah Program Vendor Telekom Malaysia.

Menurut surat itu, kontrak tersebut diberi secara rundingan terus kepada Opcom Sdn. Bhd. untuk tempoh tiga tahun.

Dr. Mahathir juga mendakwa bahawa kini ada usaha untuk memburukkan beliau semasa memegang jawatan Perdana Menteri dulu.