Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Buka puasa' dengan Santhara, Tian nafi hadir majlis Bersatu

Naib Presiden PKR Tian Chua menafikan menghadiri acara Bersatu setelah beberapa gambar dan video menunjukkan dia berada pada majlis berbuka puasa bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara menjadi tular di media sosial semalam.

Tian Chua dikritik oleh beberapa pemimpin PKR memandangkan Santhara merupakan salah seorang ahli parlimen yang mengikut timbalan presiden PKR, Azmin Ali untuk keluar parti itu, sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.

Di antara pemimpin PKR berkenaan ialah Adun Rawang Chua Wei Kiat, yang berkongsi dan menyindir gambar Tian Chua dalam majlis berkenaan dengan ucapan "Selamat berbuka puasa".

Beberapa komen pada hantaran berkenaan meminta PKR memecat Tian Chua.

"Disebabkan kerisauan tindakan disiplin akan diambil terhadap saya, maka saya ingin nyatakan Komen di bawah gambar tidak mewakili pendirian saya," tambah Wei Kiat dalam catatan tersebut.

Berdasarkan gambar, acara itu diadakan di pusat operasi parlimen Batu, dengan bendera Bersatu turut dinaikkan.

Gambar dan video itu dipercayai dimuat naik ke Facebook oleh S Gobi Krishnan, pegawai Penyelaras Perikatan Nasional kawasan Batu.

Menurut Gobi, majlis berbuka puasa itu merupakan anjuran Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (Pembakti) dengan kerjasama pejabatnya selaku Pegawai Penyelaras Parlimen Batu, Madrasah Badriah dan Penggerak Komuniti Negara (PKN).

PKN adalah sebuah NGO yang diketuai oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang bertujuan menyokong agenda kerajaan untuk membantu rakyat.

Oriental Daily melaporkan Gobi sebagai berkata kesemua pemimpin politik di Batu telah diundang, termasuk Tian Chua yang merupakan bekas ketua cabang Batu dari PKR.

 'Ini bukan acara Bersatu'

Ketika dihubungi, Tian Chua menjelaskan majlis berbuka puasa itu bukanlah acara Bersatu, tetapi dianjurkan oleh Pembakti.

“NGO itu mengajak semua persatuan penduduk di Batu dan saya juga untuk berbuka puasa bersama dengan timbalan menteri.

“Saya pernah menjadi Ahli Parlimen (Batu), jadi penduduk berharap saya boleh menyertai majlis berbuka puasa itu untuk mengetengahkan suara mereka kepada timbalan menteri.

"Jadi, saya tidak boleh kata saya tidak akan hadir sekiranya timbalan menteri menghadiri acara yang sama'," kata Tian Chua kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, dia juga tidak boleh menghalang penganjur untuk menggantung bendera Bersatu.

Ketika ditanya mengenai kritikan daripada pemimpin PKR yang lain, Tian Chua berkata mereka memberikan reaksi yang terlalu berlebihan.

Katanya, dia perlu berurusan dengan pegawai atau lawan politik untuk memperjuangkan hak penduduk di kawasan Batu tetapi bukan bermaksud tidak setia kepada parti.

Selain itu, bekas anggota Parlimen Wangsa Maju dari PKR, Tan Kee Kwong juga hadir dalam majlis tersebut.

Tan berkhidmat sebagai ahli parlimen selama tiga penggal di Segambut dari tahun 1995 hingga 2008 di bawah tiket Gerakan yang merupakan salah satu komponen BN.

Dia menyertai PKR pada tahun 2008 dan bertanding di kerusi Wangsa Maju pada pilihan raya umum ke-13. 

Walaupun memenangi kerusi itu pada tahun 2013, PKR menggantikan tempatnya dengan Tan Yee Kew, yang memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum 2018.

Lihat Komen
ADS