Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Parlimen akan diadakan pada masa sesuai, bergantung nasihat pakar - Takiyuddin
Diterbitkan:  Apr 26, 2021 12:08 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Kerajaan memberi jaminan sidang parlimen akan segera diadakan apabila tiba masa yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas Darurat ditamatkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan.

Dia berkata demikian susulan gesaan berterusan daripada pelbagai pihak supaya sidang parlimen diadakan segera.

Bagaimanapun menurutnya, ia bergantung kepada nasihat dan pandangan pelbagai pihak mengenai wabak Covid-19 terutamanya daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Kerajaan memberi jaminan sidang parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas Darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti,” 

"Namun demikian perkara ini akan bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperolehi oleh Kerajaan dari semua pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan (constitutional responsibilities) untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang parlimen.

"Namun keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan parlimen," katanya.

Untuk rekod, pelaksanaan darurat terbaru berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos ini, diwartawakan setelah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda akan keperluan pelaksanaannya bagi membendung penularan Covid-19.

Ia sekali gus menyebabkan sidang Parlimen tergantung.

Muhyiddin kemudian berdepan kritikan hebat daripada pembangkang dan dari parti kerajaan sendiri iaitu Umno agar menasihat Agong untuk membuka kembali parlimen bagi memberi ruang ahli Dewan Rakyat bersidang.

Pada Feb, Agong bertitah bahawa parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda, atas nasihat perdana menteri.

Sementara itu Takiyuddin berkata semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan semasa darurat berkuat kuasa.

"Ini termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati YDPA mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa Darurat.

“Dalam masa yang sama, tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salah guna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira -kira Wang Awam (PAC),” katanya.

Lihat Komen
ADS