Lee Kuan Yew dituduh tidak hormati negara jiran
Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew dan menuduhkan tidak tidak menghormati negara jiran, dengan mendakwa kaum Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik kerana ia adalah sesuatu yang negatif.
Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew dan menuduhkan tidak tidak menghormati negara jiran, dengan mendakwa kaum Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik kerana ia adalah sesuatu yang negatif.
.
"Dia (Lee) berasa dia kuat, dia dah jadi sombong, dia pun tak hairan dengan jiran-jiran. Itu sebab dia sengaja bangkitkan perkara itu sedangkan dia tahu ini adalah perkara yang sensitif di dalam negara kita," katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan Tabung Bangunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Kemaman dan Kempen Hari Pahlawan peringkat daerah Kemaman di Awana Kijal, Beach and Spa Resort, dekat Kijal, Terengganu semalam.
Jumaat lalu, dalam di luar mesyuarat Bank Dunia-Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Singapura, Lee dilaporkan bercakap mengenai isu yang menyentuh layanan Malaysia dan Indonesia terhadap kaum Cina di negara masing-masing.
Lee dipetik oleh agensi media asing sebagai berkata sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk oleh cara layanan mereka terhadap etnik Cina minoriti di negara mereka sendiri.
Menurut laporan Bernama, Lee mendakwa Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan kaum Cina di negara masing-masing kerana etnik itu berjaya serta bekerja kuat, justeru mereka dipinggirkan secara sistematik.
Mengulas lanjut mengenainya, Dr Mahathir berkata Malaysia juga sebenarnya boleh mempersoalkan kenapa orang Melayu di Singapura dipinggirkan.
Bagaimana Melayu S'pura?
"Kita juga boleh tanya apa kedudukan orang Melayu di Singapura, kenapa mereka tidak dibenarkan dalam tentera memikul senjata atau pun dilatih menggunakan senjata. Kenapa orang Melayu di Malaysia ini begitu cekap dalam bidang tentera tetapi di Singapura, tidak dapat pegang jawatan tinggi.
"Kenapa orang Melayu dipinggirkan sehingga mereka tiada kedudukan sama sekali. Ini dilakukan dengan sengaja oleh Singapura. Tidak ada negara lain yang membuat tindakan yang semacam itu," katanya.
Dr Mahathir menegaskan bahawa apa yang diperkatakan oleh Lee bahawa kaum Cina di Malaysia dipinggirkan adalah tidak benar kerana ada di antara mereka, misalnya dalam perkhidmatan tentera, memegang jawatan tinggi.
"Orang Cina di sini dapat masuk tentera sehingga pegang jawatan Jeneral, Mejar Jeneral dan sebagainya. Tetapi (bagaimana pula) orang Melayu di Singapura, dia punya pendapatan per kapita berbanding dengan orang Cina di Singapura, cuba bagi tau.
"Cuba adakan siasatan bebas, kenapa orang Melayu tertinggal di Singapura. Bukan mereka kurang daripada orang Melayu di Malaysia tetapi mereka telah ditekan, dipinggirkan dan ditindas, itulah kerajaan yang diasaskan oleh pendapat Lee Kuan Yew," katanya.
Terdahulu, ketika berucap, Dr Mahathir menggesa Lee supaya tidak berbangga dengan apa yang diperkatakannya.
Komen Presiden MCA
"Awak jaga periuk nasi awak sudahlah. Awak tak laku, awak pun bukan bijak sangat. Dalam satu kumpulan yang kecil, mungkin awak nampak bijak.
"(Tetapi) bila dia pergi China. Orang Cina di sana pun tidak akan dengar. Orang China pun tak pandang hormat kepada dia kerana dia sebenarnya dipinggirkan oleh orang Cina di seluruh dunia," katanya.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata Menteri Mentor itu tidak sepatutnya membuat dakwaan sedemikian kerana ia bukan sahaja tidak adil kepada kerajaan Malaysia, tetapi juga tidak baik kepada keharmonian rakyat negara ini yang berbilang kaum.
"Beliau sebagai seorang bekas Perdana Menteri tentu tahu kenyataan sebegini akan beri kesan buruk kepada negara jiran. Beliau adalah seorang yang terlalu `over-confident'. Dia sering merasakan yang dia sentiasa betul, tapi kenyataan Lee Kuan Yew itu tidak adil kepada Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan para pemimpin MCA Bahagian Batu Gajah di Wisma MCA Bahagian Batu Gajah di Pusing dekat Ipoh semalam.
"Saya rasa rakyat Malaysia tidak sepatutnya terperangkap. Kita perlu kekal bersatu, kita perlu terus bekerjasama dalam masyarakat. Kita tahu apa yang kita lakukan dan kita tidak seharusnya membenarkan kenyataan seperti ini menimbulkan suasana tidak harmoni atau keraguan," tambahnya.

