Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) menggesa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew memohon maaf secara terbuka kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana mencampuri urusan dalaman negara ini.

Pemangku Pengerusinya Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata kenyataan Lee bahawa orang Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik adalah tidak berasas sama sekali.

"Apa hak beliau (Lee) mengeluarkan kenyataan macam ini, budaya politik di Malaysia berbeza dengan Singapura, kita tidak pernah mencampuri urusan dalaman mereka jadi janganlah campur urusan

"Kita...Singapura sudah kerap mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan rakyat Malaysia tetapi sebagai jiran yang menghormati hak jirannya, kita tidak pernah membuat kenyataan balas," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut laporan Bernama, beliau yang juga anggota Parlimen Larut berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lee yang dilaporkan bercakap mengenai isu yang menyentuh layanan Malaysia dan Indonesia terhadap kaum Cina di negara masing-masing.

Jumaat lalu, di luar mesyuarat Bank Dunia-Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Singapura, Lee dipetik oleh agensi media asing sebagai berkata sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk oleh cara layanan mereka terhadap etnik Cina minoriti di negara mereka sendiri.

Jangan ambil kesempatan

Lee mendakwa Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan kaum Cina di negara masing-masing kerana etnik itu berjaya serta bekerja kuat, justeru mereka dipinggirkan secara sistematik.

Raja Ahmad berkata Lee sepatutnya tidak mengambil kesempatan dengan mengalihkan pandangan orang lain dengan memberi kritikan keras terhadap Malaysia.

"Singapura juga sepatutnya berterima kasih kepada kita kerana tidak pernah menyentuh isu air atau jambatan tetapi kenapa kerap kali sangat hendak ganggu kita? Kalau kita hendak bangkitkan ketidakpuasan hati dalam Asean banyak lagi tentang masalah orang Melayu di sana yang wujud tapi kita tidak timbulkan kerana itu hak sesebuah negara yang menjalankan pentadbiran politiknya," katanya.

Katanya Lee boleh melihat sendiri situasi kaum Cina di Malaysia apabila Pulau Pinang dipimpin oleh pemimpin Cina dan dalam barisan Kabinet, pasukan keselamatan negara ini turut memberi hak kepada bangsa itu.

Beliau turut meminta Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia membuat penjelasan bertulis kepada Wisma Putra berhubung kenyataan Lee untuk menjernihkan keadaan.