Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata rakyat Malaysia menyambut ketibaan Ramadhan dalam suasana ekonomi yang menekan dengan kenaikan harga barang yang hampir tidak terkawal.

"Kaum surirumah pastinya lebih merasa terbeban dengan perbelanjaan dapur yang kian meningkat. Apatah lagi bekalan gula yang boleh dikatakan hampir putus dewasa ini," katanya dalam perutusan hari ini sempena ketibaan bulan Ramadhan di mana umat Islam akan mengejar ibadat puasa.

Justeru katanya, adalah lebih baik jika majlis berbuka puasa dan seterusnya persiapan sambutan hari raya nanti dilakukan dengan cukup bersederhana.

"Saya yakin ia bukan sahaja selari dengan semangat Ramadhan itu sendiri tetapi ia juga baik untuk kesihatan kita, malah akan dapat mengurangkan masalah tekanan ekonomi yang dihadapi," tambahnya.

Kepada pihak kerajaan pula, Wan Azizah menggesa supaya usaha yang lebih berkesan segera diambil untuk menangani masalah kekurangan gula memandangkan sambutan perayaan kian hampir dan kegagalan menanganinya akan lebih membebankan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Ramadhan kali ini juga memperlihatkan keadaan dunia yang semakin tidak aman.

"Tindakan segelintir kumpulan pelampau telah memberi prasangka kepada Islam. Malah Islam juga telah dihina walau mungkin dalam keadaan yang tidak disengajakan.

Elak salahfaham

"Harapan kita ialah semoga kedatangan Ramadhan kali ini akan mampu mengukuhkan perhubungan persaudaraan sesama umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia, memandangkan Islam adalah agama yang penuh dengan sifat toleransi," tambahnya.

Bagi menghormati bulan mulia ini, beliau berharap semua pihak menghentikan sebarang bentuk tindakan mahupun kenyataan yang boleh mewujudkan salahfaham di kalangan masyarakat dunia dan di kalangan mereka sendiri.

"Keadilan juga melihat peristiwa yang menimpa negara jiran Thailand seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua. Rampasan kuasa yang tiba-tiba sahaja berlaku begitu memeranjatkan dunia.

"Kita yakin jika semua pihak bersedia berbincang dan memahami hak dan tanggungjawab masing-masing sejak dari awal perkara sebegini tidak akan berlaku.

"Kita juga berpendapat bahawa pencabulan terhadap salah satu elimen utama demokrasi iaitu pilihanraya yang bebas dan adil telah menjadikan Thailand kehilangan sistem demokrasi secara total," katanya.

Justeru, katanya, Keadilan menyeru agar kerajaan Malaysia memikirkan secara mendalam akan peri pentingnya mewujudkan sebuah kerajaan demokrasi yang adil demi kesejahteraan dan keamanan rakyat.

"Saya juga merayu agar seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai agama dan bangsa agar menjadikan Ramadhan ini sebagai batu loncatan untuk lebih memahami dan mengenali teman-teman yang beragama Islam.

"Keadilan sentiasa komited di dalam mewujudkan suasana yang aman dan akan sentiasa menentang sebarang bentuk tindakan yang berupa hasutan yang akan mengakibatkan pertelingkahan antara agama dan kaum di negara ini lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan," katanya.